suria

Wei Li catat rekod baru acara 800M gaya bebas

KUALA LUMPUR: Perenang dari Sabah, Lai Wei Li, yang dilihat sebagai perenang jarak jauh berbakat bagi Malaysia, mencacat masa terpantas dalam acara kegemarannya 800m gaya bebas pada Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara (SEA) ke33 di sini semalam.

Beliau memenangi pingat emas bagi Kumpulan 1 perempuan dalam acara 800m gaya bebas untuk Malaysia dan mencatat satu rekod baru kejohanan dalam masa sembilan minit 06.29 saat, mengatasi rekod sebelum ini 9:09.75s yang dicatatkan oleh rakan sepasukannya, Chan Kah Yan di Bangkok, Thailand tahun lepas.

"Saya gembira dengan keputusan hari ini sungguhpun ia bukan masa terbaik saya. Masa terbaik saya ialah 9:01.00s yang dicatat semasa Kejohanan Kumpulan Umur Nasional.

"Sasaran saya kini ialah untuk melayakkan diri ke Sukan SEA Laos. Saya perlu mengatasi pencapaian kelayakan 8:56.00 untuk dipilih bagi skuad renang kebangsaan," kata prodigi bekas perenang kebangsaan Alex Lim Keng Liat berusia 15 tahun ini.

Keng Liat telah mangasah bakat Leung Chii Lin untuk melayakkan diri ke Olimpik Beijing pada tahun lepas dan ramai lagi perenang di Sabah yang berbakat.

Awal tahun ini, Wei Li memenangi tujuh pingat emas di Kejohanan Renang MSSM pada Mac dan kemudian memenangi tujuh lagi pingat emas pada Kejohanan Kumpulan Umur Nasional April.

Kedua-dua kejohanan itu diadakan di Shah Alam.

Pada pertandingan renang MSSM, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah All Saints Kota Kinabalu mencatat masa 9:08.11s dan mengurangkan masanya kepada 9:01.86s di Kejohanan Renang Kumpulan Umur Nasional.

Kontinjen Malaysia menamatkan kempennya pada Kejohanan Renang Kumpulan Umur SEA ke33 dengan kejayaan cemerlang setelah muncul sebagai naib johan dengan memungut 21 pingat emas, 23 perak dan 18 gangsa pada pertandiangan tiga hari itu.

Mereka mengatasi pencapaian tahun lepas iaitu 10 pingat emas.

Sementara itu, Thailand menunjukkan negara kuasa utama dalam acara renang di rantau ini apabila menguasai kebanyakan acara yang ditawarkan pada hari terakhir pertandingan.

Sebagai juara keseluruhan, perenang Thai itu memungut 47 pingat emas, 32 perak dan 30 gangsa, sementara Singapura di tempat ketiga dengan 14 emas, 16 perak dan 23 gangsa.

"Perenang remaja kita telah menunjukkan kemampuannya pada kejohanan ini. Sasaran kita pada kejohanan tahun ini ialah 15 pingat emas tetapi mereka telah mengatasi pencapaian sebelum ini dan memungut 21 pingat emas.

"Enam lelaki dan enam perempuan akan dihantar untuk mewakili Malaysia pada Sukan Belia Asia di Singapura bulan depan dan selepas itu kita akan menganjurkan Olimpik Mini pada Ogos.

Ini merupakan peluang terakhir mereka untuk bertanding dengan perenang kebangsaan bagi menempah tempat ke Sukan SEA Laos," kata setiausaha kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong. BERNAMA

Artikel Lain