suria

Nishitani ungguli peringkat keenam Jelajah Malaysia

BERA: Pecutan deras sebelum memintas dua pelumba Australia 100 meter dari garisan penamat membantu pelumba Jepun Taiji Nishitani menjuarai peringkat keenam Jelajah Malaysia 2009 (JM2009) dari Kuantan ke Bera hari ini.

Nishitani, 28, dari pasukan Aisan Racing, berusaha gigih sepanjang kayuhan sejauh 134km untuk mendahului kelompok utama 109 pelumba bagi mencatatkan masa terpantas dua jam 52 minit tiga saat.

Ketika menuju garisan penamat, pelumba Jepun itu memecut untuk memintas pelumba Joel Pearson dari pasukan Savings & Loan dan pelumba Shaun McCarthy dari pasukan Ride Sport Racing untuk sampai ke garisan penamat.

"Saya amat bangga dengan kejayaan ini dan saya sudah mengetahui pelumba Australia itu mahir dalam pecutan. Saya hanya mengekori rentak mereka sebelum memintas di saatsaat akhir.

"Kemenangan ini dihadiahkan kepada penyelaras pasukan Nana Watarai," kata Nishitani yang ketinggalan hanya empat saat di belakang pendahulu keseluruhan, Mehdi Sohrabi dari Iran.

Dalam pada itu, Mehdi dari pasukan Tabriz Petrochemical masih menguasai jersi Kuning sebagai pelumba terbaik keseluruhan dengan mengumpul jumlah catatan masa sebanyak 24 jam, 33 minit dan empat saat.

Pelumba Britain James Spragg dari pasukan Trek Marco Polo mengumpul catatan masa 24'33:09s untuk menduduki tempat ketiga selepas enam peringkat perlumbaan.

Mehdi turut mengekalkan gelaran Raja Pecut (jersi Hijau) dengan 21 mata manakala jersi Polka Dot bagi memburu gelaran Raja Bukit masih diterajui oleh pelumba Iran Abbas Saeditanha dari pasukan Azad University Continental dengan 15 mata.

"Hari ini, kami hanya mempunyai satu pendakian sepanjang laluan dan saya mahu bersedia untuk acara pendakian menakluk puncak Genting Highlands esok.

"Kami perlu melihat keadaan laluan sebelum merangka strategi," kata Abbas.

Sementara itu, pelumba senior negara Suhardi Hassan terus mengungguli kedudukan pelumba terbaik tempatan (jersi Putih) dengan mengumpul kelebihan 24'45:28s, lima minit di hadapan rakan sepasukan Wan Mohd Najmee Wan Mohamad.

Tempat ketiga kategori itu masih dikuasai Mohd Shahrul Mat Amin dari pasukan Terengganu Toshiba BikeLabz.

Pasukan kebangsaan masih mendahului ketagori pasukan tempatan terbaik dengan mengumpul jumlah masa 74'18:45s diikuti oleh LeTua Cycling Team (74'21:16s) dan Terengganu Toshiba Bike Labz (74'41:49s).

Pasukan Azad University Continental masih mendahului kategori pasukan terbaik dengan catatan masa 73'39:42s disusuli oleh Tabriz Petrochemical (73'40:16s) dan Savings & Loan dengan masa 73'56:23s.

Perlumbaan peringkat ketujuh laluan bukit esok akan bermula di Tanjong Malim, Perak ke Gohtong Jaya, Genting Highlands, sejauh 116.2km.

Laluan peringkat itu akan meliputi tiga zon pendakian di Templer Park, Batu Dam dan Genting Highlands dan tiga zon pecutan di Batang Kali, Serendah dan Sungai Tua. BERNAMA

Artikel Sebelum

Shebby labur dalam ASM

Artikel Berikut

Artikel Lain