suria

Halim digantung 3 bulan, Annuar berdepan tindakan

PETALING JAYA: Penjaga gol Kelantan Halim Napi digantung permainan selama tiga bulan serta denda RM3,000 manakala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin mengambil tindakan terhadap presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa.

Pengerusi Lembaga Disiplin FAM, Kamarudin Abdullah berkata, keputusan terhadap Halim dibuat berdasarkan fakta dan saksi terhadap dua pertuduhan yang dikemukakan kepada lembaga itu.

Halim didapati bersalah menyerang pemain Negeri Sembilan Aidil Zafuan Radzak dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad keIV di Kota Baharu pada 7 April lepas.

Bagaimanapun, Lembaga Disiplin dalam mesyuarat lebih empat jam di Wisma FAM di sini hari ini, melepaskan pemain berusia 38 tahun itu atas tuduhan mencetus atau menghasut penonton untuk merusuh selepas perlawanan itu kerana tiada bukti kukuh.

Hukuman terhadap Halim itu memaksa penjaga gol utama pasukan itu tidak dapat beraksi pada perlawanan akhir Piala FA menentang Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, dekat sini, Sabtu ini.

Sementara itu, lembaga itu mengkaji bentuk tindakan terhadap Annuar kerana didakwa mengeluarkan kenyataan tanpa kebenaran FAM selepas insiden rusuhan di luar stadium berkenaan.

"Dalam meyuarat tadi kita ada bincangkan kes beliau (Annuar Musa), tapi kita belum putuskan tindakan selanjutnya kerana kita masih menjalankan siasatan," kata Kamarudin.

Selain kes Halim dan Annuar, lembaga itu turut mengenakan hukuman denda RM6,000 dan amaran keras ke atas pengurus pasukan Selangor Zakaria Ab Rahim kerana mengeluarkan kenyataan media pada 4 April lepas tanpa kebenaran FAM. BERNAMA

Artikel Lain