suria

[V] “Saya tak nak jadi watak jahat untuk kongsi berita buruk ini”- Dr Fie mahu Nubhan ada bersama beritahu anak-anak

BEKAS isteri kepada Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr Fie, 33, berharap dapat bekerjasama dengan penyanyi itu dalam memaklumkan berita perpisahan kepada tiga anak mereka.

Menurut Afifah atau Dr Fie, 33, dia tidak mahu menjadi individu yang dilihat sebagai penyampai khabar buruk kepada anak-anak tanpa kehadiran bapa di sisi.

"Saya harap Nubhan dapat bekerjasama untuk beritahu pada anak-anak. Buat masa sekarang saya cuma beri alasan ayah mereka sibuk bekerja.

"Saya tak nak jadi watak jahat ketika beritahu berita buruk ini,” katanya kepada mStar.

Dr Fie dan Nubhan sah bercerai selepas 10 tahun berkahwin. 

Dr Fie berkata demikian ketika ditemui selepas selesai prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa.

Berkongsi keadaan emosi anak-anak, Dr Fie memaklumkan keadaan mental dan emosi mereka masih stabil serta tidak menunjukkan gangguan akibat isu rumah tangga yang berlaku.

Jelasnya, anak-anak sudah terbiasa dengan kehadirannya di rumah memandangkan dia yang banyak menguruskan mereka selama ini.

"Saya ada tanya cikgu di sekolah tentang perkembangan anak-anak. Alhamdulillah tiada perubahan drastik, tiada menangis, tiada kawan ejek, semua baik," luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan, Dr Fie sah cerai talak dua, 10 tahun mahligai dibina musnah

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan tiada masalah berkawan baik dengan Dr Fie demi anak-anak… “Tiada siapa yang berkahwin mahukan perceraian” 

Mengulas lanjut, Dr Fie berkata anak keduanya seakan-akan sudah curiga apabila sudah lama tidak melihat ibu bapanya bersama di rumah.

"Anak pertama saya rasa sudah boleh faham jika saya beritahu tapi anak kedua pula ada bertanya kenapa abah tak balik, kenapa tak ikut abah.

"Setakat ini saya belum beritahu sebetul-betulnya pada anak-anak," luahnya.

Pada Selasa, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah cerai dengan bekas isterinya buat kali kedua.

Dr Fie beritahu anak keduanya seakan-akan sudah menghidu perpisahan ini. 

Peguam yang mewakili Nubhan iaitu Mohd Ridzuan Ramli berkata lafaz cerai pertama dilakukan pada 19 Januari 2017 dan rujuk pula pada 21 Januari 2017 manakala lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.

Terdahulu, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia