BEKAS isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mengakui tanggungjawab terhadap anak-anak menjadi keutamaan selepas bercerai.
Menurut Dr Afifah atau lebih mesra disapa Dr Fie, 35, fasa yang dilaluinya kini bukan sahaja mencabar, malah memerlukan kekuatan mental kerana selepas ini perlu melakukan semua perkara seorang diri tanpa sokongan lelaki bergelar suami.
“Walaupun kami sudah berpisah, saya masih memikul tanggungjawab besar terhadap anak-anak. Nasib baik saya ada keluarga yang sangat menyokong, terutama ayah,” katanya ketika ditemui selepas sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa.

Mahkamah mengesahkan perceraian di antara Nubhan dan Dr Fie pada Selasa.
Jelasnya, dia kini sedang belajar sedikit demi sedikit tentang peranan baharu itu dan banyak mendapat kekuatan selepas bergaul dengan individu lain yang melalui kehidupan sebagai ibu tunggal.
“Saya lihat ramai ibu tunggal mampu bertahan, jadi saya pun cuba belajar dan perlahan-lahan menyesuaikan diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Fie turut meluahkan rasa lega apabila kerjayanya sebagai doktor gigi tidak terganggu dengan masalah rumah tangga.
ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan, Dr Fie sah cerai talak dua, 10 tahun mahligai dibina musnah
ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan tiada masalah berkawan baik dengan Dr Fie demi anak-anak… “Tiada siapa yang berkahwin mahukan perceraian”
“Setakat ini kerja saya berjalan seperti biasa. Saya masih berkhidmat di Klinik Lantara, Seremban. Saya tidak terganggu dan saya juga ada buat kerja di luar,” tambahnya.
Pada Selasa, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah cerai dengan bekas isterinya buat kali kedua.
Peguam yang mewakili Nubhan iaitu Mohd Ridzuan Ramli berkata lafaz cerai pertama dilakukan pada 19 Januari 2017 dan rujuk pula pada 21 Januari 2017 manakala lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


