suria

[V] Shakilla Khoriri jawab tuduhan larang jumpa anak, campur tangan isteri Fizi Ali punca sekat nombor telefon

PELAKON Shakilla Khoriri tidak pernah menghalang anak mereka iaitu Ameena Sofia daripada bertemu dengan bapanya iaitu penyampai radio Fizi Ali.

Kata Shakilla atau Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 35, sebaliknya memberitahu Fizi yang menghilangkan diri selain tidak berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan bekas suaminya itu terhadap anak perempuan tunggal mereka.

Pelakon tersebut juga menyelar tindakan Fizi yang dikatakan hanya pandai berkomunikasi di media sosial namun tiada sebarang tindakan.

shakilla 1

Shakilla anggap Fizi sekadar bercakap di media sosial.

“Kalau awak tak datang cari anak awak, anak tak mungkin akan datang cari awak.

“Sebagai seorang bapa, kalau rasa nak (bersama) anak, munculkan diri. Jangan MIA (hilang) begitu sahaja. Jangan ghaib.

“Jangan cakap di media sosial begitu dan begini. Dia (Fizi) yang hilang,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Usaha jejak anak gagal, Shakilla Khoriri tak jawab telefon... Fizi Ali mahu bawa kes ke mahkamah syariah

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada jalan penyelesaian, Fizi Ali bawa isu anak ke mahkamah... “Saya harap dia datang selesaikan perkara ini”

Shakilla berkongsi perkara itu ketika ditemui pada perbincangan sulh berhubung hak penjagaan anak mereka yang diadakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Mengulas mengenai tuduhan dia menyekat nombor telefon Fizi, Shakilla memberitahu dia bertindak sedemikian kerana isteri baharunya mencampuri urusan mereka.

Kata Shakilla, dia tidak berminat untuk berurusan dengan orang lain apabila berhubung anak mereka melainkan Fizi sendiri.

Apa yang dia dah buat dengan Ameena, saya ada bukti dan serahkan kepada peguam saya

SHAKILLA KHORIRI

PELAKON

“Kenapa nombor Fizi disekat, kena tanya dia sendiri. Saya ‘block’ sebab ada campur tangan isteri dia.

“Apa yang dia dah buat dengan Ameena, saya ada bukti dan serahkan kepada peguam saya.

“Sebab ‘block’ sebab saya tak berminat nak bercakap dengan orang selain daripada bapa Ameena walaupun itu isterinya,” ujarnya.

Menurut pelakon drama Suri Hati itu, dakwaan Fizi yang ada menghubunginya banyak kali selepas insiden tidak dapat berjumpa anak pada November lalu adalah tidak benar.

fizi ali 2

Fizi mahu tuntut hak penjagaan anak.

Kata Shakilla, Fizi tidak pernah menghubunginya untuk mencari anak mereka dan menyifatkan penyampai radio itu hanya mengeluarkan kenyataan di media sosial.

“Yang dia kata, dia telefon saya berkali-kali mencari anak, tidak semua itu.

“Demi Allah saya cakap tiada, segala rekod dan bukti saya dah serahkan kepada peguam saya. Dia tiada telefon atau WhatsApp saya di mana-mana.

“Dia hanya keluarkan kenyataan demi kenyataan di media sosial,” katanya.

Sebelum ini, Fizi meluahkan rasa kesal apabila niat berjumpa Ameena semasa majlis graduasi di sebuah tadika pada 11 November lalu tidak kesampaian.

Kata Fizi, dia menunggu Ameena untuk tampil membuat persembahan di majlis konvokesyen tersebut namun kelibat anaknya itu tiada.

Bengang tidak dapat berjumpa dengan anak, Fizi turut membuat pendedahan mendakwa Shakilla ada hubungan dengan lelaki lain.

Malah menurutnya lagi, individu yang dikatakan sebagai orang ketiga itu diterima baik dalam keluarga Shakilla.

Disebabkan tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan anaknya, Fizi nekad untuk menggunakan jalan terakhir iaitu membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Untuk rekod, Fizi dan Shakilla bernikah pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan penceraian pada Disember 2021.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak iaitu Ameena Sofia yang kini berusia lima tahun.

Fizi kemudian mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Siti Zulaikha pada 23 Oktober lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain