suria

Isteri Fizi Ali hanya sekali balas mesej Shakilla Khoriri, minta keluarkan bukti tuduhan campur tangan isu anak

Zulaikha tampil di mahkamah sekaligus menjawab tuduhan Shakilla.

ISTERI kepada Fizi Ali tidak pernah masuk campur dalam kemelut melibatkan penyampai radio berkenaan dengan bekas isterinya iaitu Shakilla Khoriri.

Siti Zulaikha, 31, berkata, dia enggan mencampuri urusan mereka kerana ia adalah hal peribadi selain tiada kena mengena dengan dirinya.

Susulan itu, Zulaikha meminta aktres berkenaan tampil dengan bukti jika benar dia masuk campur dalam urusan hak penjagaan anak perempuan mereka iaitu Ameena Sofea.

"Rasanya tak ada isu tentang campur tangan orang ketiga sebab saya tidak pernah masuk campur urusan Fizi dan Shakilla.

fizi ali 1

Fizi dan Shakilla hadir ke mahkamah bagi proses sulh berhubung hak penjagaan anak perempuan mereka.

"Kalau dia cakap saya sebagai orang ketiga, oleh minta Fizi bukti jika ada. Bagi saya itu hal mereka.

"Kalau ada bukti sila keluarkan. Itu sahaja. Kalau itu yang dia (Shakilla) katakan keluarkan saja bukti tersebut," katanya kepada mStar.

Zulaikha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada perbincangan sulh berhubung tuntutan hak penjagaan Ameena yang diadakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Dalam pada itu, Zulaikha menegaskan dia hanya membalas sekali sahaja mesej yang dihantar Shakilla kepada Fizi disebabkan pelakon tersebut mula mengaitkan namanya dalam hal mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Shakilla Khoriri jawab tuduhan larang Fizi Ali jumpa anak, campur tangan isteri bekas suami punca sekat nombor telefon

ARTIKEL BERKAITAN: Usaha jejak anak gagal, Shakilla Khoriri tak jawab telefon... Fizi Ali mahu bawa kes ke mahkamah syariah

Kata Zulaikha, dia dan Fizi turut mempunyai bukti untuk dikemukakan bagi menafikan dakwaan campur tangan seperti yang didakwa oleh Shakilla.

"Rasanya pernah sekali saya membalas mesej Shakilla itu pun disebabkan dia yang mula petik nama saya. Kalau Shakilla kata dia ada bukti, pihak kami pun ada bukti juga. Ada sebab kenapa saya balas mesej dia (Shakilla).

"Tetapi itu sekali saja saya membalas mesej Shakilla disebabkan dia mula libatkan diri saya... Kalau dia tak sebut nama saya, saya tidak akan balas mesej tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Zulaikha turut memberitahu emosi Fizi agak terganggu disebabkan tidak dapat bertemu dengan anaknya itu.

Kalau itu yang dia (Shakilla) katakan keluarkan saja bukti tersebut.

SITI ZULAIKHA

ISTERI FIZI ALI

"Kalau berkait dengan Ameena memang saya nampaklah emosi Fizi sangat-sangat terganggu tetapi Alhamdulillah saya sentiasa berada di sisinya.

"Macam semua orang tahu Fizi pun rapat dengan Ameena dan ini adalah tempoh paling lama dia tidak dapat berjumpa dengan anaknya," katanya.

Sebelum ini, Shakilla memberitahu menyekat nombor telefon Fizi atau Mohd Hafizudin Alimudin, 37, kerana tidak mahu berkomunikasi dengan Zulaikha yang dikatakan campur tangan terhadap penjagaan anak mereka iaitu Ameena.

Pada 11 November lalu, Fizi meluahkan rasa kesal apabila niat berjumpa Ameena semasa majlis graduasi di sebuah tadika.

isteri Fizi 2

Zulaikha tak masuk campur urusan Fizi dan Shakilla.

Kata Fizi, dia menunggu Ameena untuk tampil membuat persembahan di majlis konvokesyen tersebut namun kelibat anaknya itu tiada.

Disebabkan tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan anaknya, Fizi nekad untuk menggunakan jalan terakhir iaitu membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Untuk rekod, Fizi dan Shakilla bernikah pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan penceraian pada Disember 2021 dan mereka dikurniakan seorang anak iaitu Ameena Sofia yang kini berusia lima tahun.

Fizi kemudian mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Siti Zulaikha pada 23 Oktober lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain