suria

Beego antara selebriti hadir ke mahkamah, terkesan tak terima royalti sejak 5 tahun lalu

Beego berharap isu royalti dapat diselesaikan.

PELAKON dan penyanyi Beego antara selebriti yang hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Khamis bagi perbicaraan rayuan sekumpulan penggiat seni terhadap Prism Malaysia berhubung isu kutipan royalti.

Beego atau Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 43, berkata, kehadirannya itu kerana turut terkesan apabila tidak menerima agihan royalti sejak lima tahun lalu hasil kutipan untuk lagu-lagu nyanyiannya bersama kumpulan Phyne Ballerz.

"Saya mahukan keadilan tentang bagaimana agihan royalti mengikut cara yang betul. Lagu-lagu Phyne Ballerz masih dimainkan di pusat karaoke.

"Walaupun lagu-lagu kami tidak dimainkan di radio namun wajah kami masih lagi digunakan. Jadi ke mana pergi duit kami selama ini," soalnya.

Phyne Ballerz

Beego bersama anggota Phyne Ballerz.

Beego berkongsi luahan tersebut dalam sebuah video dimuat naik di laman Instagram miliknya sejurus tiba di mahkamah.

Dalam pada itu, Beego mendakwa isu agihan ini sudah lama menjadi kemelut dalam industri seni disebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kuasa mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada rundingan luar mahkamah, 32 ahli Prism saman Prism Berhad tuntut wang royalti

"Ini adalah isu duit. Bila 'jerung' besar kawal, duit royalti tidak diagihkan kepada mereka yang selayaknya. Mereka semua ambil duit tapi tidak diserahkan kepada kita," katanya.

Dalam masa sama, Beego turut mempertikaikan badan yang septutnya menjalankan tanggungjawab tersebut termasuk Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).

"Sebelum ini Prism, kemudian RPM. Berapa banyak badan hendak ditubuhkan untuk kutip royalti," jelasnya.

Pada 13 September tahun lalu seramai 32 penggiat seni terdiri daripada penyanyi dan pemuzik memfailkan usul berserta afidavit bagi mendapatkan kebenaran saman terhadap Prism Berhad.

Antara yang turut serta adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk DJ Dave, Aris Ariwatan, Azharina dan S Atan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain