suria

Nasib Ismahalil Hamzah ke tali gantung diketahui 17 Julai, bicara kes edar dadah selesai

Ismahalil berdepan tuduhan mengedar dadah jenis kanabis.

NASIB penyampai radio Ismahalil Hamzah yang dituduh mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lalu bakal diketahui 17 Julai ini.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar keterangan saksi terakhir pada perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Muhammad Jamil menutup kes berkenaan selepas memanggil lima saksi pembelaan memberi keterangan termasuk isterinya iaitu Nor Haslinda Abd Manaf.

Pada perbicaraan itu, saksi pembelaan kelima memberitahu mahkamah, dia tidak berada di dalam bilik kejadian serbuan dibuat sebaliknya hanya melihat daripada garaj kereta ketika Ismahalil digari dan dibawa polis.

ismahalil1 - 1

Ismahalil memberitahu mahkamah dia tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

Saksi turut menjelaskan bilik tempat dadah dijumpai itu adalah ruang kegunaan bersama bagi tujuan solat dan mengecas komputer namun kesemua barang berkaitan tiada dalam bilik berkenaan.

“Bilik tersebut sememangnya merupakan bilik para DJ, kru Bapakku FM dan kawan-kawan tertuduh untuk melepak, tidur, solat, mengecas telefon bimbit dan sebagainya.

“Sejujurnya saya juga kebiasaannya akan berehat di dalam bilik tersebut untuk tidur sebelum dan selepas bertugas,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismahalil Hamzah bersumpah tidak terlibat edar dadah, dakwa polis serbu acu pistol ketika mahu solat di bilik

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Akaun bank Ismahalil Hamzah kena beku, isteri dalam kesempitan besar 3 anak

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad bagaimanapun memberitahu mahkamah keterangan dibuat saksi terakhir itu bertentangan dengan bukti bergambar yang diserahkan kepada mahkamah.

Saksi yang merupakan setiausaha Kelab MyFriend Bapakku FM turut didakwa memberi keterangan berbentuk rekaan demi menyelamatkan tertuduh yang merupakan majikannya.

Untuk rekod, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain