suria

Diana Danielle bayar sewa rumah, ada hak halang Farid masuk… Lagipun hubungan tak baik

Diana memfailkan cerai terhadap Farid kerana sudah tiada persefahaman.

PELAKON Diana Danielle mempunyai hak menghalang suaminya iaitu Farid Kamil dari memasuki kediaman mereka selepas memfailkan cerai pada 10 Mac lalu.

Peguam syarie mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir menjelaskan anak guamnya yang menyewa kediaman tersebut dan mempunyai hak untuk membenarkan atau menghalang sesiapa saja daripada memasuki rumah berkenaan.

"Rumah itu disewakan oleh anak guam kami, jadi dia ada hak untuk membenarkan sesiapa masuk atau tidak ke dalam rumah tersebut.

"Hubungan mereka juga memang sudah tidak baik, sebab itu anak guam saya ke mahkamah (memfailkan penceraian)," katanya kepada mStar.

Akberdin menjelaskan mengenai perkara tersebut susulan dakwaan Farid dihalang kembali ke rumah itu dan bertemu dengan anak-anak mereka.

553 (1)

Farid enggan menceraikan Diana dan mahu menyelamatkan rumah tangga mereka.

Dalam pada itu, Akberdin berkata, Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan mahkamah akan digunakan bagi mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan dikemukakan kepada mahkamah.

"Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati berlaku shiqaq, Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan berkenaan," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil enggan lafaz talak... Diana Danielle dakwa berlaku perbalahan berpanjangan dalam rumah tangga

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil dihalang jumpa anak, masih sayang Diana... Tak sebumbung sejak awal Mac

Pada Isnin, dunia hiburan dikejutkan dengan berita Diana memfailkan penceraian terhadap Farid, 42, namun pelakon utama filem Anwar: The Untold Story itu enggan melafazakan talak terhadap isterinya kerana masih ada perasaan sayang.

Diana atau Diana Danielle Danny Benson, 32, memfailkan cerai tersebut pada Isnin mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.

Diana dalam permohonannya menyatakan tiada persefahaman selain shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup sebagai suami isteri sebagai punca dia memfailkan penceraian terhadap Farid.

Diana Anak

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad dan Nur Aurora.

Pelakon filem Imaginur itu diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir manakala Farid diwakili Fakhrul Azman Abu Hassan.

Diana difahamkan melantik rakan rapatnya sebagai wakil manakala Farid belum memberi sebarang nama bagi pihaknya untuk proses itu.

Hakim Syarie, Shukran Yusof menetapkan 28 Mac ini untuk membolehkan Farid memaklumkan mahkamah wakil bagi pihaknya dalam JKP tersebut.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain