PU Abu masih suami Ain Afini, mesej cerai melalui Whatsapp tak sah - Sensasi | mStar

PU Abu masih suami Ain Afini, mesej cerai melalui Whatsapp tak sah

Mahkamah Syariah memutuskan perkahwinan PU Abu dan Ain Afini masih sah.

STATUS rumah tangga Pencetus Ummah (PU) Abu dan isteri iaitu Ain Afini Latif akhirnya terjawab apabila Mahkamah Rendah Syariah di Klang mengekalkan mereka sebagai suami isteri.

Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar memutuskan selepas mendapati lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dilakukan PU Abu atau nama sebenarnya, Mohammad Abu Sufyan Mohd. Mokhtar Rozaidi, 25, adalah tidak sah.

Mohd. Nurulazhar dalam penghakiman memberitahu, lafaz cerai itu adalah secara bertulis dan merupakan kinayah serta perlu bersumpah.

ARTIKEL BERKAITAN: PU Abu tak berani mengaku kahwin janda anak satu... Nak kena tanya ayah!

ARTIKEL BERKAITAN: PU Abu tak kahwin lari, nikah dengan Hana secara sah di Malaysia

"Abu Sufyan, sebagai suami perlu jaga isteri dan jaga anak dalam kandungan. Orang mengandung ini lain perasaan mereka dan jangan lepas tangan," jelas Mohd. Nurulazhar.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan tersebut mendaftar lafaz rujuk cerai mereka pada 23 Februari lalu selepas mendapati lafaz rujuk itu sah.

PU Abu dan Hana Azraa.

Pada prosiding tersebut, Ain 'Afini, 23, sebagai plaintif dan tidak diwakili peguam memberitahu, mereka telah bercerai pada 28 Januari tahun ini dengan kebenaran mahkamah dengan talak 1 selepas mendirikan rumahtangga pada 31 Ogos tahun lalu.

Mereka kemudiannya telah melafaz rujuk dengan niat dan melafazkan berbaik semula pada pukul 11 pagi di rumah PU Abu di Selayang Baru pada 23 Februari lalu.

Bagaimanapun, PU Abu didapati menghantar lafaz cerai menerusi aplikasi WhatsApp pukul 11.44 pagi pada 13 Mac lalu selepas seminggu meninggalkan Ain 'Afini.

PU Abu sebagai defendan mengesahkan kiriman pesanan itu namun menjelaskan tidak berniat untuk menceraikan Ain 'Afini selain tidak melafazkan cerai secara lisan.

"Saya masih sayangkan isteri dan ingin hidup bersamanya. Saya juga bertanggungjawab ke atas anak yang dikandung. Saya mengaku kesilapan meninggalkan isteri atas sebab tertentu yang tidak boleh dihuraikan. Saya juga memohon maaf kepada ibu bapa mertua," katanya.

PU Abu mengaku kesilapan atas diri sendiri dan bukan sebab ibu bapa.

PU Abu yang memakai baju kemeja berjalur lengan pendek, berseluar hitam dan berkopiah tanpa diwakili peguam itu melafazkan sumpah tersebut sambil didengari Ain 'Afini yang berada di sebelahnya.

Kontroversi rumah tangga PU Abu mula menjadi perbualan hangat pada April lalu apabila bekas isterinya Ain Afini mendedahkan telah diceraikan ketika sarat mengandung tujuh bulan.

Ain turut memberitahu punca perceraian itu disebabkan orang ketiga iaitu seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Hana Azraa.

Ain juga mendedahkan pendakwah itu meminta keizinan untuk berpoligami ketika dua bulan mereka mendirikan rumah tangga.

PU Abu , Ain Afini

Artikel Lain