suria

[V] Isteri punca kes taklik tangguh lagi, Along Cham dah tak sanggup hadap kecaman netizen

HASRAT untuk bercerai nampaknya tidak kesampaian apabila kes pengesahan lafaz taklik melibatkan pelawak Along Cham dan isteri Afreena Suhaimi ditangguhkan ke tarikh lain.

Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa Afreena sendiri menjadi punca kes penceraian mereka menjadi panjang apabila berbohong mengenai lafaz rujuk dibuatnya pada Jun tahun lalu.

“Sebelum ini dia beritahu nak percepatkan kes tetapi apa yang berlaku dia pula tak mengaku (lafaz rujuk) dan kes menjadi semakin panjang.

Along mahu kemelut rumah tangga segera berakhir.

“Dia tahu apa yang dia sudah buat... Sepatutnya mengaku sahajalah, semuanya boleh selesai hari ini.

“Disebabkan dia tak mengaku berlakunya rujuk, kes terpaksa dibicarakan lagi dan itu membuatkan saya rasa sangat kesal.

“Selepas rujuk dia menipu lagi, mana tak naik darah saya? Sebab itulah lafaz taklik berlaku dan itu pun dia tak mahu mengaku sampai sekarang,” katanya kepada mStar.

Along berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas perbicaraan kes pengesahan lafaz taklik yang difailkan terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak berminat pertahan rumah tangga, isteri harap Along Cham ceraikannya hari ini

ARTIKEL BERKAITAN: Along Cham pernah lafaz cerai 2 bulan selepas nikah tapi isteri tak berubah langgar janji

Seperti Afreena, Along memberitahu dia juga mahu isu rumah tanggannya selesai namun akur ia ditunda ke tarikh baharu.

Ia disebabkan Along tidak lagi mahu pelbagai spekulasi timbul sehingga menyebabkan dia menjadi mangsa kecaman netizen.

“Kalau boleh, saya memang nak selesaikan hari ini juga. Bila perkara ini berlarutan, terlalu banyak spekulasi dan kecaman netizen perlu saya hadap.

Sepatutnya mengaku sahajalah, semuanya boleh selesai hari ini

ALONG CHAM

PELAWAK

“Banyak perkara dia cuba manipulasi. Saya masih berpegang bahawa kami ini suami isteri yang sah. Kalau saya betul-betul zalim, banyak tindakan yang saya dah boleh ambil.

“Disebabkan peguam banyak beri nasihat, jadi saya ikut dan tunggu saja proses mahkamah,” ujarnya.

Pada Khamis, Hakim Syarie iaitu Muhammad Nazri Basrawi menetapkan kes pasangan tersebut ditunda pada 1 dan 3 Julai depan.

Kes cerai Along dan isteri masih belum selesai.

Pada 10 Mac lalu, Muhamad Nazri mengarahkan Along melantik peguam bagi memudahkan perjalanan kes yang difailkan di mahkamah.

Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan penyanyi Zila Saeron pada September 2016.

Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan itu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah penjagaannya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain