suria

Diuji kesempitan hidup dan kesihatan, simpati orang pula tak kekal lama... Din Glamour sabar menanti peluang mengarah

Din mahu bekerja dalam bidang pengarahan kerana itu kepakaran bagi dirinya.

SELEPAS sekian lama menyepikan diri, kisah hidup pelakon dan pengarah popular era 1990-an Din Glamour mendapat perhatian ramai yang bersimpati dengan kesempitan hidup dilaluinya ketika ini.

Bukan sahaja berdepan masalah kewangan sejak tiga tahun lalu, Din atau Sallehuddin Ridzuan, 63, sudah tiada pekerjaan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah selama enam bulan pada tahun yang sama.

Tidak terhenti di situ, pada September 2023 Din turut diuji dengan masalah kesihatan apabila disahkan menghidap paru-paru berair dan sesak nafas sehingga terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Ampang.

Bagaimanapun simpati orang ramai tidak kekal lama apabila ada pula mempersoalkan pelakon filem Awang Spanar itu tidak berusaha memperbaiki kehidupannya.

size NP 1 - 2024-04-18T151314.484

Din pernah dimasukkan ke hospital kerana penyakit paru-paru berair.

Malah Din dituduh tidak beringat ketika di puncak populariti sehingga tidak mempunyai simpanan untuk digunakan ketika kehidupan dilanda ujian.

Menjelaskan perkara itu, Din memberitahu tawaran kerja yang tidak serancak dulu faktor dia tidak mampu menyimpan.

"Sebenarnya ramai orang tanya mana simpanan? Saya dapat sesuatu kerja bukan setiap bulan tapi mungkin satu tawaran sekali dalam lima atau enam bulan.

"Bayaran diterima pun bukanlah besar sangat dan biasanya gaji bukan dapat sekali gus sebab ada pihak produksi bayaran secara ansuran," katanya kepada mStar.

Belum mengalah dengan takdir, Din masih menaruh harapan untuk kembali mengarah drama selepas penyakit paru-paru berair dihadapinya semakin pulih.

ARTIKEL BERKAITAN : Tiada pertalian darah, pengarah Din Glamour bukan bapa kandung Mimi Lana

ARTIKEL BERKAITAN : mStar papar 10 selebriti dalam kesusahan, program ‘mStar Baek’ mula bersiaran setiap Khamis

Bukan tidak terfikir mencari pekerjaan lain namun jelas Din hanya kerja pengarahan kepakaran dimiliki.

"Saya masih ada keinginan nak kembali mengarah fasal badan masih kuat cuma berlakon dah tak minat sebab usia pun sudah berumur.

"Harap pihak produksi kalau ada kerja kosong hubungi saya sebab itu sahaja harapan saya.

"Memang terdesak cari kerja tapi nak buat macam mana, mahu tak mahu kena hadap juga," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Din juga terpaksa menebalkan muka dengan meminta pertolongan daripada kenalan dalam industri namun masih tiada hasil.

size NP 1 - 2024-04-18T151449.351

Din tinggal bersama isteri di sebuah kondominium.

"Dulu ada tanya tapi sekarang saya sudah naik segan sebab ramai hanya berjanji tapi selepas itu mereka hilang begitu sahaja.

"Tidak mengapa mungkin belum rezeki saya," katanya.

Selain Awang Spanar, Din pernah membintangi filem seperti Hero, Adik, Femina, Sejati dan OK (Orang Kampung Otak Kimia).

Pada era 1990-an, Din lebih dikenali sebagai pelakon pelbagai drama slot Spektra yang pernah disiarkan di RTM.

Din mempunyai seorang isteri iaitu Noorin @ Nor Ain Saad, 59, dan dua cahaya mata iaitu Yasmin Farhana, 30 dan Mohd Ashraf Azhari, 27 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain