suria

Syukur dah ada dua cahaya mata, Nadia Aqilah tak fikir nak tambah anak

Nadia tidak mahu terlepas setiap detik istimewa bersama anak-anak.

SELEPAS memiliki sepasang cahaya mata, pelakon Nadia Aqilah tidak merancang untuk menambah bilangan anak.

Nadia atau Nadia Aqilah Bajuri, 38, berkata ini kerana dia mahu ikatan hubungan yang lebih erat antara keluarga dan mahu memastikan detik bersama dua anaknya itu tidak terlepas.

Nadia bagaimanapun berkata dia tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki untuk hamil lagi di masa akan datang.

nadia aqilah 2

Nadia bersama suami dan anak sulung mereka.

"Cukuplah sepasang... saya mahu hubungan yang kuat bersama anak-anak. Ibu bapa sekarang pun mesti nak melihat proses pembesaran anak mereka.

"Suami saya juga sudah bersetuju. Malah dia pun agak trauma melihat saya mengalami alahan teruk sepanjang dua kali hamil sebelum ini," katanya kepada mStar.

Nadia ditemui ketika majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya berjudul MagiK yang berlangsung di Bukit Jalil baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi 2 bulan nak bersalin, Nadia Aqilah masih alami loya teruk - “Saya dah sampai tahap reda”

ARTIKEL BERKAITAN: Berbakat macam ibunya, anak Amanda Misbun cabar diri bawa watak budak pekak dalam ‘MagiK’

Berkongsi tentang kehidupan harian sebagai seorang ibu, Nadia juga meletakkan batas dalam menerima tawaran kerja.

Kata Nadia, dia tidak mahu mengambil tawaran yang memerlukannya berada di lokasi terlalu lama sehingga menyebabkan kurang masa bersama keluarga.

"Saya yang tetapkan syarat untuk tidak terlalu lama di set penggambaran. Sekarang pun anak kedua masih menyusu badan, jadi saya kena lebih banyak masa di rumah.

Kita pun perlu keseimbangan dalam kerja. Kenalah bataskan dalam menerima tawaran

NADIA AQILAH

PELAKON

"Kita pun perlu keseimbangan dalam kerja. Kenalah bataskan dalam menerima tawaran," jelasnya.

Untuk rekod, Nadia mendirikan rumah tangga dengan Saiful Ridzuan pada April 2018 dan memiliki sepasang cahaya mata iaitu Senja Aqilah, 4, dan Aria Bayu, lima bulan.

Bercakap mengenai filem MagiK, Nadia meluahkan rasa teruja kerana diberi kesempatan untuk mempelajari bahasa isyarat.

nadia aqilah 1

Nadia memuji bakat lakonan Qisya dalam MagiK.

Membawakan watak Fiza sebagai seorang ibu kepada kanak-kanak kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Nadia memberitahu dia cukup puas dengan karakter berkenaan.

"Salah satu sebab saya terima tawaran ini adalah kerana berpeluang belajar bahasa isyarat. Sudah lama simpan hasrat nak belajar tetapi tidak berkesempatan.

"Dalam filem ini watak saya tidak banyak dialog jadi saya dapat luahkan emosi dengan hanya reaksi muka sahaja," ceritanya.

Selain Nadia filem ini turut dibintangi oleh Beto Kusyairy dan pelakon cilik Qisya Hairulzain.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain