suria

Ernie Zakri cerita kisah hidup dalam ‘Aura’, mahu beri inspirasi kepada peminat

Ernie harap album Aura dapat jadi peneman buat para pendengar.

MAHU menyuntik semangat kepada peminat untuk tidak mudah mengalah, penyanyi Ernie Zakri tampil dengan album terbaharu berjudul Aura.

Kata Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, album memuatkan 10 buah lagu ini diibaratkan perjalanan cerita sepanjang perjalanan hidupnya sebagai seorang anak seni.

"Aura ini mengisahkan kisah hidup yang berkait rapat dengan kehidupan saya. Saya yakin ramai orang di luar dapat merasa lagu-lagu ini berkait rapat dengan mereka.

Snapinsta.app_392947670_18397448998032204_5660093166130846615_n_1080

Ernie harap album Aura dapat menyuntik semangat pendengar untuk terus hidup.

"Album Aura ini juga menampilkan nilai positif, semangat dan kebanyakan lagu-lagu di dalam album ini adalah untuk memberi harapan dan semangat kepada semua orang," katanya kepada mStar.

Dia berkongsi perkara itu semasa ditemui di sesi Secret Listening Session Album Aura bersama media yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada petang Selasa.

Menurut Ernie, sebagai penghibur dia mempunyai tanggungjawab untuk memberikan inspirasi kepada orang ramai menerusi lagu-lagu yang dinyanyikannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua album tak laku buat Ernie Zakri mahu berhenti menyanyi, tapi sedar ‘sendu’ sebab salah sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Rimas dibandingkan dengan artis lain, Ernie Zakri kasihan peminat buang masa sakitkan hati sendiri

Malah dia berharap album yang bakal berada di pasaran bermula November ini dapat menjadi peneman kepada pendengar sekali gus membuat mereka terus bersemangat meneruskan hidup.

"Sebagai seorang penyanyi, saya juga mempunyai tanggungjawab sebagai seorang tukang cerita.

"Jadi menjadi satu kepentingan untuk saya mengekalkan karier saya sebagai seorang penyanyi dengan menghasilkan lagu-lagu yang menjadi inspirasi kepada semua orang di luar sana.

"Terutama sekali anak muda yang mungkin berhadapan dengan masalah dalam kehidupan. Saya harap album ini menjadi peneman buat anda semua di luar sana," ujarnya.

ernie

Aura temui peminat pada 3 November nanti.

Kata Ernie, album Aura masih mengekalkan imejnya yang terkenal dengan genre pop balada namun sentuhan daripada pelbagai komposer dan penerbit menampilkan sisi lain dirinya yang tidak diketengahkan sebelum ini.

Malah dia bersyukur apabila proses merakamkan 10 buah lagu dapat dilakukan dalam waktu yang singkat.

"Aura ini sama macam pop yang kebiasaan Ernie Zakri tapi campur pelbagai perisa di dalamnya sebab itu saya berkerjasama dengan komposer dan penerbit untuk mendapatkan bunyi-bunyi yang berlainan.

"Alhamdulillah saya sendiri tak sangka saya dapat garapkan kesemua lagu itu dalam waktu beberapa bulan sahaja. Mungkin juga ini rezeki saya apabila ditemukan dengan penerbit dan juga komposer yang hebat-hebat," kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain