suria

Bekerja ketika berpantang, Shahida tahu keupayaan badan sendiri - “Sama sahaja kalau selepas 40 hari makan macam-macam”

Shahida enggan layan kecaman netizen yang mendakwa dia tidak berpantang.

SEJAK kebelakangan ini golongan selebriti wanita yang tidak menjalani tempoh berpantang dengan sempurna selepas melahirkan anak menjadi bualan dalam kalangan netizen yang meluahkan rasa bimbang ia akan menjadi ikutan masyarakat.

Turut terkena tempiasnya adalah usahawan dan isteri kepada Datuk Seri Aliff Shukri Kamarzaman iaitu Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid yang dilihat tidak berpantang selepas melahirkan anak keenamnya pada 3 April lalu.

Menjawab isu berkenaan, Shahida, 38, berkata, dia mampu keluar bekerja selepas 14 hari melahirkan anak kerana lebih kenal keupayaan tubuh badannya dan cara berpantang setiap individu adalah berbeza.

"Sudah enam kali saya melahirkan anak, jadi saya tahu keadaan diri saya. Dulu tiada pembantu memang saya uruskan semuanya sendiri malah sampai sekarang saya masih buat sendiri.

Luqman penyeri rumah tangga Shahida dan Aliff.

"Alhamdulillah sampai sekarang masih lagi sihat... kita hanya keluar beberapa jam meraikan pekerja sahaja, selepas itu saya balik," katanya kepada mStar.

Shahida berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Aqiqah serta Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kota Damansara pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri timang anak keenam, Shahida bertarung nyawa 15 jam dalam dewan bersalin - “Dia keluar tangan dulu bukan muka”

ARTIKEL BERKAITAN: “Lahir-lahir terus murah rezeki”... Shahida, Aliff Syukri beri nama anak keenam Luqman Al-Hakim

Dalam pada itu, Shahida menjelaskan dia masih mengamalkan berpantang cara orang lama namun apa yang berbeza adalah dia keluar untuk bekerja.

Jelasnya, bagi memastikan badannya sihat, dia juga turut mengamalkan gaya hidup sihat serta menjaga pemakanan dan tidak hanya bergantung kepada kaedah berpantang selama 40 hari.

Saya masih berpantang, berurut. Hidup kita tak sama macam kehidupan orang lain, ada orang dia boleh duduk rumah tapi saya perlu bekerja.

DATIN SERI NUR SHAHIDA

USAHAWAN

"Saya masih berpantang, berurut. Hidup kita tak sama macam kehidupan orang lain, ada orang dia boleh duduk rumah tapi saya perlu bekerja.

"Bagi saya ikut logik akal, ada yang berpantang selama 40 hari tetapi selepas itu makan macam-macam, sama sahaja.

"Paling penting jaga pemakanan, gaya hidup kita dan bersenam! Itu yang buat kita sihat bukan hanya kena berpantang sahaja," ujarnya.

Aliff dan Shahida ada cara tersendiri dalam menguruskan hal peribadi mereka.

Sementara itu, Shahida berkata, pada tahap ini dia sudah lali dengan kecaman segelintir warganet terhadap dia dan memilih untuk mengabaikan perkara negatif.

"Kalau dulu saya cukup tak suka dengan kecaman walaupun ia hanya perkara kecil tetapi sekarang saya sudah tidak kisah," katanya.

Pada 3 April lalu, Aliff dan Shahida menimang cahaya mata lelaki yang diberi nama Luqman Al-Hakim.

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007 turut dikurniakan lima cahaya mata lain iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusof Al Qardawi dan Raudah Arshiyah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain