suria

Netizen ugut, hina Hattan salah di sisi undang-undang… Peguam nasihat henti buli siber termasuk kongsi foto lama

Hafidzah minta netizen jangan berlebih-lebih dalam memberi komen.

TINDAKAN penyanyi Datuk Hattan yang dikatakan kurang beradab semasa ditemu bual secara langsung di Buletin Awani pada pagi Jumaat lalu terus menjadi bualan hangat netizen.

Lebih parah lagi apabila penyanyi berusia 59 tahun itu turut menerima pelbagai mesej hinaan dan ugutan sehingga terpaksa meletakkan akaun Instagram miliknya ke mod privasi.

Berkongsi pandangan mengenai komen netizen itu, peguam Nurul Hafidzah Hassan beranggapan tindakan ugutan terhadap penyanyi veteran tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia salah di sisi undang-undang.

Hafidzah berpendapat ugutan tidak sepatutnya berlaku dalam kes Hattan.

Hafidzah menjelaskan individu yang melakukan ugutan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 506 kerana mendatangkan rasa ketakutan dan terancam terhadap seseorang.

"Jika sesuatu ugutan itu mendatangkan ketakutan kepada nyawa, harta benda kepadanya, mangsa perlu membuat laporan polis dan siasatan akan dilakukan untuk membawa pihak berkenaan ke muka pengadilan.

"Sebab ugutan ini sememangnya benda tak betul dan tak boleh dilakukan walaupun menggunakan akaun palsu," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas teruk dikecam, akhirnya isteri Hattan bersuara... “Private IG sebab tak mahu anda tambah dosa”

ARTIKEL BERKAITAN: “Not Interested” - Ini jawapan Hattan selepas diselar netizen perlekeh penyampai berita semasa live

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Hafidzah berkata tindakan menghina seseorang juga salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan dibawah seksyen 233 yang mana seseorang secara sedar mewujudkan komen mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati, atau mengganggu orang lain.

Dalam pada itu, Hafidzah memberitahu bahawa dia sememangnya tidak senang dengan netizen-netizen yang suka melakukan buli siber ini terutama mereka yang hanya berani di sebalik akaun palsu.

Tambahnya, kedua-dua pihak perlu mengeluarkan satu kenyataan bagi meredakan isu ini sekali gus menghentikan buli siber dari terus berlaku.

Nasihat saya tidak perlu berlebih-lebih dengan menghantar pelbagai mesej hinaan.

NURUL HAFIDZAH HASSAN

PEGUAM

"Saya sememangnya anti buli siber ini kerana kita tidak tahu situasi kedua-duanya malah gaya orang lama berbual biasalah seperti itu.

"Tapi bagi saya sebagai orang luar ini yang tiada kena mengena dengan Hattan... nasihat saya tidak perlu berlebih-lebih dengan menghantar pelbagai mesej hinaan serta memuat naik gambar Hattan yang lama-lama dan saya rasa ini sememangnya satu pembulian siber.

"Biasanya isu seperti ini akan panas dalam masa seminggu sahaja tapi lebih baik kalau kedua-duanya pihak membuat satu kenyataan agar isu ini dapat segera dihentikan," jelasnya.

Antara mesej yang diterima Hattan.

Pada 28 April lalu, tular video temu bual di antara Datuk Hattan bersama penyampai berita saluran Astro Awani menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen yang menganggap penyanyi berkenaan tidak beradab.

Tindakan Hattan menempelak penyampai berita iaitu Nur Syazwani Saiful Sham yang bertanya mengenai penulisan lagu dan lirik kumpulan XPDC mengundang rasa kurang senang orang ramai.

Malah dia kemudiannya bertanya sama ada Syazwani mengetahui sejarah tentang individu di sebalik yang menghasilkan lirik lagu-lagu kumpulan rock terkenal itu sekali gus menganggap penyampai berita itu tidak melakukan persediaan dan kajian sebelum menemu bualnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain