suria

Nazrey Johani dapat peluang kedua perjuang nasyid, tampil kolaborasi bersama Zawfan

Nazrey buat kemunculan bersama kumpulan nasyid Zawfan. - Foto AZLINA ABDULLAH

BEKAS vokalis kumpulan Raihan, Nazrey mengubat kerinduan apabila muncul dengan kolaborasi bersama kumpulan nasyid Zawfan menerusi lagu Bismillahir Rahmanir Rahim.

Nazrey atau Nazrey Johani Abdullah, 51, berkata, dia berasa terharu kerana diberi peluang kedua untuk memperjuangkan semua muzik nasyid yang menggunakan 100 peratus pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan.

"Saya sangat berasa gembira dapat memulakan semula selepas 25 tahun tiada lagi lagu-lagu seperti ini.

"Allah beri saya peluang untuk mulakan semula. Waktu saya masih hidup, Allah pilih saya balik untuk memperjuangkan lagu-lagu seperti ini semula," katanya kepada mStar.

zawfan1 - 1

Dari kiri: Fadzil Radzi, Nazrey dan Hafiz.

Bismillahir Rahmanir Rahim menggabungkan gubahan dan susunan berserta alunan vokal berharmoni di dalam lagu yang pastinya mengimbau nostalgia pendengar kepada nasyid era 90-an.

Malah, Zawfan sendiri mengambil inspirasi daripada muzik-muzik nasyid yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Raihan satu ketika dahulu.

Nazrey sendiri tidak gentar sekiranya nyanyian mereka dibandingkan dengan Raihan kerana menganggap hanya mahu memperjuangkan irama nasyid gendangan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Hati saya tak tenang" - Nazrey dedah punca sebenar keluar Raihan, tak mahu hidup dalam dunia populariti

ARTIKEL BERKAITAN: Nazrey Johani setuju buat kemunculan di konsert ulang tahun Raihan, tunggu surat jemputan

"Kita sudah sedia maklum bahawa hidup ini akan sentiasa dibandingkan. Itu tidak jadi masalah bagi kami.

"Paling penting disini, kemahuan kami dan jiwa kami ingin memperjuangkan kembali lagu-lagu nasyid gendagan yang sederhana.

"Belum ada lagi yang mahu memperjuangkannya setelah 20 tahun lebih lagu nasyid berkembang. Kini, sudah tidak nampak beza antara lagu nasyid atau lagu pop," ujarnya.

Allah beri saya peluang untuk mulakan semula. Waktu saya masih hidup, Allah pilih saya balik untuk memperjuangkan lagu-lagu seperti ini semula.

NAZREY JOHANI

PENYANYI

Mengulas lanjut tentang penerimaan generasi muda terhadap muzik klasik nasyid, ahli kumpulan Zawfan iaitu Hafiz Tarmizi menjelaskan mereka tidak menolak dengan pembaharuan industri muzik.

Kata Hafiz, mereka percaya kewujudan nasyid asli seperti ini dapat menarik lebih ramai peminat terhadap lagu keagamaan.

"Apa yang Zawfan dan Nazrey bawakan ini, kami tidak menentang pembaharuan atau kemodenan, yang kami buat adalah berdasarkan kerinduan kami kepada muzik akar nasyid yang seakan hilang.

"Kita mahu cuba wujudkan kembali dan kalau boleh dapat menarik lebih ramai peminat nasyid. Bukan atas dasar untuk bertanding dengan Raihan, tetapi memeriahkan kembali industry nasyid," ujarnya.

zawfan2 - 1

Zawfan dan Nazrey mahu hidupkan semula kegemilangan muzik nasyid.

Nazrey bagaimanapun memberitahu ini adalah masa yang sesuai untuk mewujudkan kembali irama nasyid gendangan kerana percaya masih ramai anak muda yang terbuka untuk menerima genre seperti ini.

"Ini adalah waktu yang tepat untuk generasi baharu untuk mengenal nasyid. Saya yakin kerana saya melihat sendiri anak-anak saya yang berumur daripada 10 tahun hingga 20-an.

"Mereka tidak menolak lagu-lagu nasyid yang seperti ini. Jadi, maksudnya lagu-lagu yang sederhana ini mudah diterima oleh semua orang.

"Saya bersyukur sangat Zawfan mahu memperjuangkan muzik seperti ini. Saya melihat muzik-muzik seperti ini dekat dengan diri kita sebagai orang Islam, yang mana boleh dikatakan kita merupakan sebuah bangsa yang beradab mulia, lembut, tenang dan pemaaf," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain