suria

Konsert Satu Suara Datuk Seri Siti Nurhaliza Vol. 3 kembali, kali ini tampil Jay Jay dan Ernie Zakri

Siti bakal bergandingan bersama Jay Jay dan Ernie Zakri.

SELEPAS lapan tahun, Konsert Satu Suara Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul untuk volume ke-3 menampilkan gandingan dua penyanyi dari era berbeza iaitu Jay Jay (70-an) dan Ernie Zakri (2000-an).

Konsert yang dianjurkan bersama Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd (SNP) ini merupakan kesinambungan daripada Konsert Satu Suara (2010) dan Konsert Satu Suara Vol. 2 (2015).

Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 44, berkata, setiap kali menjayakan konsert trio ini, dia mahu menampilkan sesuatu berbeza supaya peminat dan penonton sentiasa menantikan siri konsert seterusnya.

siti1 - 1

Konsert Satu Suara Vol.3 menampilkan penyanyi hebat Jay Jay dan Ernie Zakri.

Kali ini, penyanyi lagu Kau Kekasihku itu memilih untuk menggabungkan penyanyi-penyanyi popular mengikut peredaran zaman.

"Sebelum ni kita dah ada rockstar seperti Aizat dan Faizal Tahir. Konsert kedua saya dah mula gabungkan lagenda-lagenda bergabung dengan saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Meremang dengar Siti Nurhaliza nyanyi lagu 'Munbe Vaa', Raja Ilya puji sebutan bahasa Tamil tepat dan jelas

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Nafas jadi pendek, sukar nyanyi lagu nada tinggi... Vokal Siti Nurhaliza terganggu gara-gara Covid-19

"Kali ini saya rasa mahu mengikut era yang mana artis-artis hebat ini muncul di era mereka. Disebabkan itu saya mulakan dengan pemilihan artis 70-an. Masa tu lagu-lagu dari kumpulan Carefree ni memang meletup-letuplah.

"Ernie pula memang sentiasa dalam fikiran saya, kalau dipilih untuk digabungkan dalam Satu Suara, salah seorang artis yang memang dah ada dalam senarai saya ialah Ernie Zakri," katanya kepada mStar.

Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Satu Suara Vol.3 Datuk Seri Siti Nuhaliza-Jay Jay-Ernie Zakri yang diadakan di SkyeLight Designer Evet Hall, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Selasa.

Kalau dipilih untuk digabungkan dalam Satu Suara, salah seorang artis yang memang dah ada dalam senarai saya ialah Ernie Zakri.

SITI NURHALIZA

PENYANYI

Dalam pada itu, konsert yang dianjurkan ini juga merupakan satu usaha bagi mendapatkan dana untuk meneruskan kerja kebajikan Yayasan Nurjiwa milik Siti dan suaminya, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa.

Ini merupakan kali keempat Yayasan Nurjiwa dengan SNP menjayakan persembahan amal selepas Konsert Satu Datuk Siti Nurhaliza (2009), Datuk Siti Nurliza Live in KLCC: Where The Heart Is (2014), Music Of The Soul: An Evening With Datuk Sri Siti Nurlaliza (2022) dan terkini Konsert Satu Suara Vol.3 (2023).

"Sebagai pengasas Yayasan Nurjiwa, saya berharap agar konsert ini dapat mengajak penonton serta peminat bersama-sama membuat kebaikan.

"Pengalaman sewaktu turun padang menyampaikan misi bantuan menimbulkan kesedaran bahawa Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat boleh melakukan kerja kemasyarakatan secara bersama.

siti2 - 1

Siti menghiburkan peminat sambil membuat amal kebajikan.

"Orang ramai yang membeli tiket konsert ini secara tidak langsung membantu kerja-kerja amal kerana keseluruhan jualan tiket disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa," ujarnya.

Konsert Satu Suara Vol. 3 bakal dipersembahkan di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, pada 13 Mei depan pada pukul 8.30 malam.

Tiket telah pun mula dijual bermula dengan harga RM288, RM388, RM488 dan RM588 di www.myticket.asia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain