suria

Ramai terkejut tersebar berita ‘Jalaluddin Hassan’ meninggal dunia

Jalaludin harap semua pihak hentikan penyebaran berita palsu.

BERITA pemergian seorang guru agama berasal dari Singapura yang heboh diperkatakan baru-baru ini turut memberi kesan kepada pelakon Datuk Jalaluddin Hassan kerana kebetulan mereka memiliki nama sama.

Ia menjadi sebutan netizen apabila ada portal memuat naik semula berita mengenai pemergian pendakwah tersebut, namun mengelirukan pembaca apabila menggunakan gambar Jalaluddin dalam laporan berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Jalaluddin, 69, mengakui terkejut apabila berita itu dikongsi semula sedangkan ustaz berkenaan meninggal dunia pada tahun 2021.

jalal 1

Jalaluddin kesan dengan laporan palsu tentang dirinya.

"Secara umum orang di Malaysia tahu nama Jalaluddin Hassan itu merupakan seorang selebriti. Jadi apabila keluar berita sebegitu keadaan jadi kelam-kabut. Saya juga pelik kerana dapat tahu Ustaz Jalaluddin Hassan dari Singapura itu telah meninggal dunia tahun 2021. Kenapa sekarang diperkatakan lagi?

"Apabila ramai yang keliru dan ada yang tidak membaca penuh berita tersebut mereka terus menangis. Banyak panggilan yang saya terima untuk dapatkan kepastian. Apa yang menakutkan adalah apabila saya tidak dapat menjawab panggilan dan mereka ingatkan berita tersebut betul.

"Bukan saya sahaja, malah keluarga juga banyak terima panggilan. Jadi berita begini boleh ganggu ketenteraman saya, keluarga dan peminat," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jalaluddin Hassan nikahi isteri baharu bukan rela hati, ambil masa 4 tahun untuk jatuh cinta

ARTIKEL BERKAITAN: Jalaludin Hassan jatuh tangga di set penggambaran - “Kami terkejut dengar dia tiba-tiba menjerit”

Beberapa hari lalu, berita tentang Ustaz Jalaluddin yang meninggal dunia ketika melakukan rukun Tawaf di Makkah kembali menjadi bualan netizen di media sosial.

Membaca berita tersebut, Jalaluddin mengakui rasa bertuah sekiranya dia berada di tempat ustaz tersebut yang meninggal dunia di Tanah Suci seperti yang diinginkan oleh ramai umat Islam.

Bagaimanapun, dia berharap berita sebegini tidak lagi disensasikan sehingga boleh menimbulkan salah faham sekali lagi.

Saya pun baru baik umrah. Jadi tak mustahil ada orang anggap berita itu benar

DATUK JALALUDDIN HASSAN

PELAKON

"Bila baca berita berkenaan, saya terfikir alangkah baiknya kalau itu benar diri saya sebab meninggal di Makkah.

"Tak tahulah kenapa ada yang sanggup tulis berita sebegitu. Tolonglah hentikan cerita yang boleh buat orang salah faham. Jelaskan dengan betul siapa yang meninggal dunia dan jangan sengaja nak cipta sensasi," jelasnya.

Kes sebegini bukan pertama kali berlaku apabila dia juga pernah dilaporkan meninggal dunia sekitar tahun 2016.

jalal 3

Jalaluddin maklumkan dirinya kini masih sihat.

Menjawab semua kekeliruan orang ramai, Jalaluddin memberitahu dia kini dalam keadaan sihat dan baru sahaja pulang mengerjakan ibadah umrah awal Februari lalu.

"Saya pun baru baik umrah. Jadi tak mustahil ada orang anggap berita itu benar. Setiap kali dapat panggilan atau mesej saya akan jawab Alhamdulillah masih sihat.

"Saya ingat lagi sebelum ini ada seorang sahabat yang bergegas mahu datang ke rumah selepas baca berita sebegini dan kebetulan pula dia tidak dapat menghubungi saya," ceritanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain