suria

Suria FM sambut tahun baharu bersama peminat di IOI City Mall… Penyanyi popular meriahkan ‘Konsert Ambang 2023’

Suria FM bekerjasama dengan IOI City Mall Putrajaya adakan Konsert Ambang 2023.

HAMPIR dua tahun tidak menyambut sambutan ambang tahun baharu kerana pandemik Covid-19, stesen radio Suria FM bakal mengadakan Konsert Ambang 2023 bertempat di Symphony East, IOI City Mall, Putrajaya pada Sabtu, 31 Disember ini.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid, tahun ini Suria FM bekerjasama dengan pusat membeli-belah IOI City Mall Putrajaya bagi mengadakan sambutan sempena kedatangan tahun baharu 2023.

"Setelah hampir dua tahun tidak diadakan sambutan ambang tahun baru kerana pandemik yang melanda tanah air, kini Suria FM dan IOI City Mall Putrajaya mengambil inisiatif mengadakan sambutan ini sebagai penutup tirai bagi tahun 2022. Sekali gus menjadi simbol bagi menyambut kedatangan tahun baru," katanya kepada mStar.

Konsert ambang merdeka 2023

DJ Lin harap Konsert Ambang 2023 diterima baik oleh orang ramai.

Pada malam konsert itu, pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan barisan artis popular seperti Ziana Zain, Amir Masdi, Floor 88, Kugiran Masdo, Andi Bernadee, Syameer Azmi, Zulhadi, Hasif Upin, Bil Musa, Bell Yu Tian dan Geraldine.

Manakala, penyampai Suria FM iaitu Shuib, Sharifah Shahirah (Rara) dan Suraya bakal memanaskan pentas sebagai hos.

Pengunjung yang hadir pada malam itu berpeluang untuk menyertai beberapa aktiviti yang disediakan seperti giveaway, persembahan magik Mark & Pinky dan pertunjukan bunga api serta berpeluang membeli barangan eksklusif Suria FM.

ARTIKEL BERKAITAN: Suria FM bakal ‘on air’ di atas kapal persiaran, cipta rekod The Malaysia Book of Records

ARTIKEL BERKAITAN: Usaha Suria FM promosi travel di radio dapat pengiktirafan, menang anugerah Media Pelancongan Kreatif Terbaik

"Barangan eksklusif Suria FM akan dijual dengan harga promosi. Barangan eksklusif yang dijual adalah seperti T-Shirt, lanyard, payung, pelekat kenderaan dan jersey edisi terhad yang dikeluarkan oleh Suria FM sempena ulang tahun ke-15," ujar DJ Lin.

Dalam pada itu, DJ Lin turut berharap konsert ini menerima sambutan hebat pengunjung.

"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IOI City Mall Putrajaya atas kerjasama baik ini dan diharapkan konsert ambang tahun baru 2023 kali ini akan berjalan lancar serta dapat meninggalkan kenangan manis untuk semua yang hadir.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain