suria

Atan Flybaits meninggal dunia akibat sakit tua... Anak dedah arwah sempat rakam 8 lagu ketuhanan

Atan (gambar kiri) meninggal dunia pada usia 70 tahun.

VOKALIS kumpulan Flybaits iaitu Atan dilaporkan meninggal dunia pada usia 70 tahun di Hospital Singapura akibat sakit tua pada pukul 1.50 pagi Isnin.

Perkara tersebut dikongsi sendiri oleh anaknya iaitu Rezza Khan, 41, yang memaklumkan Allahyarham sudah tiga minggu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hopsital berkenaan disebabkan tahap kesihatannya merosot.

"Memang sudah tiga minggu arwah berada di ICU. Keadaannya tidak stabil selain jantung lemah dan paras oksigen juga tidak menentu.

atan 2

Kenangan Atan bersama rakan-rakan Flybaits.

"Kami sekeluarga sangat terkejut kerana sehari sebelum meninggal keadaan arwah kembali stabil. Tiba-tiba sahaja paras oksigen jatuh secara drastik dan jantung juga semakin lemah sebelum menghembuskan nafas terakhir," katanya kepada mStar.

Rezza memaklumkan jenazah bapanya selamat dikebumikan di Pusara Abadi, Singapura sekitar pukul 4 petang.

Bercakap tentang perjalanan karier arwah, Rezza menyifatkan bapanya sebagai seorang pencinta muzik yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu dengan orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Aman Shah meninggal dunia akibat serangan jantung

ARTIKEL BERKAITAN: Bob Lokman meninggal dunia

Malah lebih 10 tahun Atan terlibat mengajar muzik secara percuma kepada komuniti setempat dan kanak-kanak.

"Dia seorang yang sangat sukakan muzik. Memang sudah tidak banyak terlibat dengan persembahan berskala besar, namun dia aktif mengajar muzik secara percuma kepada komuniti.

"Dia juga sempat merakamkan lapan buah lagu genre ketuhanan bersama beberapa orang artis dari Singapura dan Indonesia tahun lalu," ujarnya.

Atan atau nama sebenarnya Ahmad Osman merupakan salah seorang vokalis Flybaits selain Fredo dan kumpulan ini popular dengan lagu-lagu seperti Kasih Berubah dan Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta.

Selain bertindak sebagai vokalis, Atan juga merupakan pemain trumpet dan keyboard bagi kumpulan tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain