suria

Tomok gerun dengan Jaclyn Victor, anggap pesaing paling sengit dalam GV9

Tomok sudah bersedia untuk berentap dalam Gegar Vaganza musim ke-9 pada 18 September ini.

PENYANYI Tomok mengakui terkejut apabila mengetahui senarai peserta program Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) yang bakal berentap bermula 18 September ini.

Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 38, berkata, sebelum ini dia langsung tidak mengetahui senarai calon yang bakal bertanding dalam program berkenaan sehinggalah selepas sesi bergambar untuk promo program.

"Saya langsung tak tahu tetapi masa photoshoot dapat klu serba sedikit tetapi beberapa hari selepas itu saya memang terkejut.

"Kalau tengok secara kasar semua barisan penyanyi yang terlibat memang kecut perut. Semua ada kelebihan tapi bagi saya, saya mahu bertanding dengan diri sendiri dan keluar daripada zon selesa.

tomok 2

Tomok menyertai pertandingan tersebut kerana ingin 'berlawan' dengan diri sendiri.

"Penyertaan saya adalah tentang Tomok dan diri Tomok," katanya.

Selain Tomok, GV9 tahun ini memperlihatkan penyertaan daripada Jaclyn Victor, Shila Amzah, Bob Yusof, Hazrul Nizam, Tom, Haida, Asheed DEF GAB C, Roy Kapilla, Dina Nazir, Pat Candy, Fuad Rahman, dan kumpulan VE.

ARTIKEL BERKAITAN: Jaclyn Victor tidak dijanjikan gelaran juara, Astro jawab isu penyertaan ramai penyanyi masih aktif dalam GV9

ARTIKEL BERKAITAN: Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Tomok antara 13 finalis Gegar Vaganza musim ke-9

Dalam pada itu, Tomok berkata, Jaclyn Victor adalah antara pencabar yang paling digeruninya kerana merasakan bakat nyanyian bekas juara Malaysian Idol itu luar biasa.

Malah ketika berteka-teki mengenai senarai peserta, Tomok berharap Jaclyn tidak akan menyertai pertandingan itu kerana tidak mahu berentap dengannya.

Semua ada kelebihan, tapi bagi saya... saya bertanding dengan diri saya sendiri dan cuba untuk keluar dari zon selesa

TOMOK

PENYANYI

“Tapi saya akan ambil perkara ini sebagai satu yang serius. Bukan untuk bertanding dengan dia tetapi dengan diri sendiri. Kalau nak bertanding dengan Jaclyn memang tak termampu.

“Jadi kena selesa dengan apa yang kita buat Insya Allah, kalau rezeki itu ada pasti milik kita,” katanya.

Menurut penyanyi terkenal dengan lagu Sejarah Mungkin Berulang itu, dia sebelum ini pernah menerima tawaran untuk menyertai GV namun menolak atas sebab tertentu.

tomok 3

Barisan peserta GV9.

Tomok memberitahu dia bersetuju untuk bertanding pada tahun ini kerana merasakan peminat program itu semakin besar dan cukup sesuai sebagai platform untuk mengembangkan karier.

"Untuk tahun 2023 saya ada beberapa projek yang sudah dirancang dan GV9 adalah salah satu daripadanya.

"Saya bersetuju bukan kerana sudah tidak relevan tetapi pertandingan ini sudah berubah dan siapa tahu selepas ini akan ada legasi-legasi penyanyi tahun 2000 dan ke atas menyertainya," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain