suria

Lama ‘tidur’ sejak pemergian Siti Sarah, kemunculan sebagai deejay Suria FM langkah Shuib kembali aktif dalam dunia seni

Shuib bergandingan dengan Ajak dan Suraya menerusi segmen Morning Morning Suria.

SEKIAN lama tidak terlibat dengan aktiviti seni sejak pemergian isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah pada Ogos tahun lalu, pelawak Shuib menganggap sudah tiba masa untuknya kembali aktif.

Sebagai tanda dia sedia menerima lebih banyak tawaran, Shuib atau Shahmira Muhammad, 38, berkata kemunculannya sebagai penyampai radio Suria FM menerusi segmen Morning Morning Suria bermula 29 Ogos ini adalah permulaan.

“Saya akui selepas isteri meninggal dunia, semangat saya hilang. Rasanya lama sangat saya ‘tidur’ dan sekarang perlu fikirkan jalan untuk kembali bangkit.

Shuib sedia kembali aktif dalam dunia seni.

Shuib sudah bersedia kembali aktif dalam bidang seni.

“Sebelum ini pun saya banyak tolak tawaran berlakon dan terlibat dengan mana-mana program televisyen. Bergelar penyampai radio kali ini adalah sebagai comeback buat saya.

“Insya Allah jika ada tawaran kerja yang sesuai selepas ini saya akan terima. Saya mahu kembali push diri sebab rasa sudah tepu,” katanya kepada mStar.

Shuib ditemui ketika konsert Jelajah 90 Suria yang berlangsung di IOI City Mall Putrajaya pada Sabtu di mana acara tersebut sekaligus memperkenalkan namanya sebagai keluarga baharu stesen radio berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Teka-teki akhirnya terjawab! Shuib sah penyampai baharu Suria FM, kendali segmen ‘Morning Morning Suria’

ARTIKEL BERKAITAN: Fizi Ali mengaku silap tinggalkan Suria FM secara mengejut, berhijrah bukan kerana wang tapi mahu kembangkan karier pengacaraan

Shuib akan bergandingan dengan Ajak dan Suraya Borhan mengendalikan segmen pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Menerima tawaran kali ini, Shuib juga menolak dakwaan dia memberi kata setuju kerana menerima bayaran tinggi.

“Saya berbincang dengan DJ Lin hanya sekali sahaja, sejak awal telah memaklumkan satu nilai untuk tawaran diberikan. Saya sendiri tidak menyangka diterima kembali bekerja dan sangat teruja untuk memberikan yang terbaik buat Suria FM.

Saya mahu kembali push diri sebab rasa sudah tepu

SHUIB

PELAWAK/PENYAMPAI RADIO

“Syukur nilai cukup untuk saya dan anak-anak. Bagaimanapun saya bukan bekerja kerana wang. Ini adalah masa untuk saya kembali berkarya,” ujarnya.

Sementara itu Shuib juga akui bimbang untuk mewujudkan keserasian bersama dua rakan penyampai lain kerana ini adalah kali pertama dia bekerja dengan Ajak dan selain tidak pernah digandingkan dengan penyampai radio wanita.

Dalam masa sama, Shuib melihat Suria FM merupakan sebuah stesen yang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di masa akan datang.

suria 1

Barisan penyampai Suria FM.

“Cabaran utama kali ini adalah untuk mewujudkan keserasian antara rakan penyampai. Saya bimbang akan menyusahkan mereka dengan kehadiran saya sebagai pasukan baharu ini.

“Sebelum ini saya pernah bekerja dengan stesen radio lain dan saya melihat Suria FM mempunyai potensi yang amat besar.

"Malah ketika berkhidmat di stesen radio terakhir, kami menjadikan Suria FM sebagai satu rujukan kerana berjaya menunjukkan peningkatan angka pendengar,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain