suria

Dari LA ke kenduri Aizat Amdan, Yuna dedah projek 'Ai.Z' untuk pasaran Amerika

Yuna kongsi rasa gembira Aizat kini sudah berkahwin.

ENGGAN terlepas hari bahagia sahabat baiknya, penyanyi Yuna sanggup terbang dari Los Angeles ke Kuala Lumpur demi menghadiri majlis perkahwinan Aizat Amdan dan pasangannya Elyssa Alia pada Ahad.

Yuna atau Yunalis Mat Zara'ai, 36, berkata, dia gembira Aizat akhirnya bertemu dengan wanita yang sempurna buat dirinya dan gembira dapat pulang dan menyaksikan sendiri penyatuan dua mempelai.

"Saya sangat teruja Aizat bertemu dengan wanita sempurna buatnya. Mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

yuna 2

Yuna tidak mahu lepas peluang hadir hari perkahwinan sahabat baiknya, Aizat.

"Sudah tentu saya gembira dapat pulang ke Malaysia dan meraikan hari bahagianya," katanya kepada mStar.

Yuna ditemui pada majlis kenduri Aizat dan Elyssa yang berlangsung di Puchong, Selangor pada Ahad.

Dalam pada itu, Yuna berkata, sebagai sahabat dia berasa bangga melihat sahabatnya itu mula mengatur langkah menembusi pasaran di Amerika menggunakan nama baharu iaitu Ai.Z.

ARTIKEL BERKAITAN: Aizat Amdan sah suami Elyssa Alia dengan sekali lafaz, pilih Mexico lokasi bulan madu

Yuna mendedahkan, dia dan Aizat sedang bekerjasama untuk projek terbaharunya yang akan dipasarkan di Amerika dan terlibat dalam penulisan lagu untuk sahabatnya.

"Seronok dapat bekerjasama dengan Aizat selain memperkenalkan dia dengan beberapa orang produser di sana. Saya bangga dengan pencapaiannya," ujarnya.

Sudah tentu saya gembira dapat pulang ke Malaysia dan meraikan hari bahagianya

YUNA

PENYANYI

Sementara itu, Yuna turut memberitahu dia sendiri sedang menyiapkan album kelimanya selain berharap dapat mengadakan konsert di Malaysia tidak lama lagi.

"Sekarang saya masih dalam proses menyiapkan album penuh. Melihat musim sekarang, ramai penyanyi buat konsert dan saya juga ingin buat perkara sama.

"Insya Allah saya akan adakan mini tour di beberapa bandar di Amerika bermula November depan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain