suria

Teruja buat persembahan di Zepp Kuala Lumpur, Noh Salleh siap beli basikal mulakan senaman untuk stamina

Noh bakal tampilkan persembahan solo buat peminat.

TERUJA dapat membuat persembahan di sebuah pentas berprestij di Zepp Kuala Lumpur, penyanyi Noh Salleh bagaimanapun meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat beraksi bersama ahli kumpulan Hujan yang lain.

Mahu menonjolkan sisi berbeza dengan lagu-lagu solo, Noh, 37, berharap peminat yang hadir pada Konsert 3 Generasi pada 27 Ogos itu nanti dapat menikmati persembahannya.

“Zepp ini merupakan satu tempat yang menjadi tumpuan ramai artis di Asia. Jadi apabila dapat membuat persembahan di sana semestinya saya gembira cuma ada sedikit rasa sedih tidak dapat bersama Hujan.

noh 2

Noh tidak beraksi bersama Hujan dalam konsert akan datang.

“Kali ini saya mahu tunjukkan kepada peminat muzik sisi berbeza Noh Salleh yang tampil secara solo berbanding bersama Hujan. Ini adalah peluang untuk peminat betul-betul ‘layan’ Noh Salleh secara langsung,” katanya.

Noh ditemui ketika sidang media konsert tersebut yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

Bercakap tentang persediaan menjelang konsert, Noh amat mementingkan stamina dan dia sendiri sudah memulakan senaman dengan melakukan aktiviti berbasikal.

ARTIKEL BERKAITAN: “Anda semua kena tipu!” - Noh Salleh ulas gosip rumah tangga dengan Mizz Nina sedang bermasalah

“Saya sudah beli basikal dan memulakan latihan untuk tingkatkan stamina. Sebagai penyanyi, membuat persembahan adalah satu amanah dan orang tidak beli tiket untuk lihat penyanyi itu ‘pancit’.

“Dari segi vokal pula saya tidak mengambil sebarang kelas latihan. Saya lebih mementingkan penjiwaan dalam persembahan berbanding teknik vokal,” ujarnya.

Konsert ini turut menampilkan dua kumpulan otai iaitu Spider dan XPDC. Noh melihat gabungan ini peluang terbaik untuknya mendekati lebih ramai peminat dari kelompok berbeza.

Saya lebih mementingkan penjiwaan dalam persembahan berbanding teknik vokal.

NOH SALLEH

PENYANYI

Dalam masa sama, Noh juga menyimpan hasrat agar dapat berkongsi pentas bersama Tam dan Ali yang merupakan vokalis bagi dua kumpulan itu dalam sebuah lagu.

“Peminat yang datang nanti pastinya dari kelompok berbeza dan inilah masanya untuk saya perkenalkan Noh Salleh kepada lebih ramai orang.

noh 3

Gabungan Noh, Spider dan XPDC dalam Konsert 3 Generasi.

“Saya pernah melihat persembahan Spider dan XPDC sebelum ini. Tidak layak untuk saya dibandingkan dengan mereka kerana kedua-duanya sudah berada di tahap yang tinggi. Saya tidak mahu nampak terlalu mencuba dan hanya akan melakukan persembahan terbaik.

“Kalaulah diberi peluang untuk menyanyi bersama dua vokalis kumpulan ini, saya rasa ia mimpi yang menjadi kenyataan,” jelasnya.

Tiket untuk konsert ini boleh dibeli secara atas talian di www.yoloasia.com.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain