suria

Scha Alyahya buat ‘check list’ untuk Awal Ashaari urus anak, terpaksa berjauhan selama 45 hari

Scha berat hati untuk tinggalkan suami dan dua anak mereka iaitu Lara Alana dan Lyla Amina..

BAKAL menjalani penggambaran filem Telaga Suriram di luar Kuala Lumpur selama 45 hari, pelakon Scha Alyahya akui bukan mudah untuknya berjauhan dengan anak-anak dan suami.

Ujar Scha atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 39, biarpun Awal Ashaari memberi keizinan namun dia tetap bimbang membiarkan suaminya menguruskan dua orang anak mereka, Lara Alana (8) dan Lyla Amina yang baru berusia 11 bulan.

"Berat rasa hati... tidak dinafikan hati saya sangat berat nak tinggalkan anak-anak yang masih kecil. Kadang-kadang terfikir, betul ke apa yang saya buat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sibuk uruskan anak kedua, Scha Alyahya akui kurang masa berbual dengan Awal Ashaari

"Watak itu dah berat, tambah pula lokasi penggambaran jauh dari KL dan lama. Jarang saya buat benda ini. Bagi saya, ia satu pengorbanan.

"Saya dah cakap dekat Awal dan dia sangat memahami sehingga saya menangis. Sebab dah lama tak buat, jadi rasa lain. Awal ada juga rasa bimbang nak uruskan anak.

Scha 1

Scha bakal mulakan penggambaran filem Telaga Suriram pada 20 Januari depan.

"Sebab bab urusan anak nak ke sekolah memang saya yang sediakan. Awal tak tahu sistem sekolah tapi saya beritahu la dia macam mana nak buat," katanya kepada mStar.

Scha ditemui ketika majlis pelancaran dan sidang media filem seram terbaharu berjudul Telaga Suriram di The Majapahit, Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Selain Scha, filem arahan pengarah Osman Ali itu turut diterajui oleh Nabila Huda, Maya Karin dan Farid Kamil.

Persediaan saya memang kena masuk kelas lakonan.

SCHA ALYAHYA

PELAKON

Dalam pada itu, pelakon filem Bikin Filem ini mengakui bergandingan dengan barisan yang hebat memberikan cabaran buatnya.

Bukan sahaja akan diajar oleh pelakon Ellie Surianty dan mendapat nasihat Vanida Imran, Scha juga menyertai kelas lakonan kendalian Dr Norzizi Zulkifli.

"Tak dinafikan bergandingan dengan barisan pelakon yang menang anugerah ini satu cabaran untuk diri saya. Persediaan saya memang kena masuk kelas lakonan.

Scha 2

Barisan pelakon dan pengarah Telaga Suriram.

"Bukan saja minta nasihat daripada Vanida Imran, saya juga akan diajar oleh Ellie Suriaty selain masuk kelas Zizi secara peribadi.

"Harapnya dengan usaha ini dapat mencantikkan keseluruhan filem itu nanti. Bagi saya, kelas lakonan sangat perlu tambahan pula melakonkan watak yang saya tak pernah bawa.

"Walaupun saya dah sinonim dengan watak beruniform tapi sejujurnya kali ini berbeza dan lebih berat," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO MUZIK APA APA ROJER!

Artikel Lain