suria

25 tahun bergelar pelakon, sudah tiba masa Hans Isaac ucap selamat tinggal dunia seni - “Semua perkara baik akan ada pengakhiran”

Hans undur diri daripada dunia lakonan selepas 25 tahun bergelar pelakon.

SELEPAS 25 tahun bergelar pelakon, Datuk Hans Isaac akhirnya mengumumkan keputusan untuk mengundur diri daripada dunia lakonan.

Pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac, 50, ini memberitahu sudah tiba masanya untuk dia menumpukan perhatian kepada bidang lain dan memberi peluang kepada palakon baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: 13 bulan pegang jawatan, Hans Isaac beri pesanan istimewa kepada pengerusi baharu Finas - “Harapnya tidak ulangi kesilapan lama”

"Semua perkara baik akan ada pengakhiran. Semuanya bermula apabila Datin Paduka Shuhaimi Baba memberi peluang kepada saya melakonkan watak dalam filem Ringgit Kasorrga pada tahun 1994.

"30 daripadanya filem cereka, sejumlah besar drama dan rancangan TV kemudiannya, diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar dan memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi Buli Balik bersama Afdlin Shauki untuk dilakonkan di Filipina (Miss You Like Crazy) ke filem Singapore City Sharks, dan kini sudah tiba masanya untuk mengundurkan diri," ujarnya.

Hans menceburkan diri dalam dunia lakonan pada tahun 1995.

Antara filem lakonannya adalah seperti Ringgit Kasorrga, Hanya Kawan, Laila Isabella dan Buli.

hans1

Hans mengumumkan perkara itu di Instagram.

Sementara itu, bercerita pengalamannya sebagai pelakon, Hans berkata, dalam tempoh tersebut dia belajar untuk mencintai dan menikmati kerjaya itu.

Bagaimanapun, kata Hans dia sentiasa mahu dirinya berkembang dan mencapai matlamat yang sudah ditetapkan dalam hidup.

"Berlakon bukanlah minat saya, tetapi saya belajar untuk mencintai dan menikmati proses itu serta bertuah kerana dapat bekerja bersama yang terbaik dalam industri.

"Bagi mereka yang amat mengenali saya, mereka akan memberitahu anda bahawa saya bukan jenis yang duduk dan tidak melakukan apa-apa. Saya selalu bertanya kepada diri sendiri apa dan siapa Hans yang seterusnya?"

"Apabila saya telah mencapai matlamat tertentu, bagaimana saya boleh menambah baik dan pada masa yang sama memberi peluang kepada orang lain di sekeliling saya?" ujarnya di Instagram pada Selasa.

Berlakon bukanlah minat saya, tetapi saya belajar untuk mencintai dan menikmati proses itu serta bertuah kerana dapat bekerja bersama yang terbaik dalam industri.

HANS ISAAC

PELAKON DAN AHLI PERNIAGAAN

Dalam pada itu, Hans berkata, dia akan terus menyokong industri seni dan merancang untuk mengarah sebuah lagi teater di Istana Budaya suatu hari nanti.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang pernah berkerjasama dan percaya kepada bakatnya sebagai pelakon selama ini.

"Saya akan terus menyokong industri seperti biasa. Terdapat sisi pawagam, pengurusan dan mungkin juga pergi ke pentas bersama Awie dan Afdlin dari semasa ke semasa untuk ketawa, beriadah dan berseronok.

"Harapan saya adalah untuk mengarahkan satu lagi teater muzikal di Istana Budaya suatu hari nanti dan akan terus meluangkan masa untuk membina empayar saya.

"Kerana jika tidak ada orang yang percaya kepada saya sebelum ini, maka tidak akan ada Hans Isaac si pelakon. Dengan itu, terima kasih kepada semua penerbit, pengarah, rakan sekerja dan ahli krew kerana telah memberi saya antara kenangan terbaik dalam hidup," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain