suria

Ahmad Idham dilantik Setiausaha Kebudayaan, Eizlan Yusof pula jadi Perunding Kreatif Kementerian Luar

Pelantikan mereka bagi mengukuhkan usaha dalam meletakkan seni Malaysia di mata dunia.

SELEPAS meninggalkan kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada September lalu, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri berkuatkuasa, Isnin.

Pelantikan jawatan itu diumumkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi satu kenyataan media yang dihantar kepada mStar.

Menurut Saifuddin, Ahmad Idham dilantik memegang jawatan itu kerana berpengalaman luas selama lebih 25 tahun dalam industri kreatif.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Idham tinggalkan Finas kali kedua, dapat tawaran baharu bertaraf diplomat

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga bulan letak jawatan Ahmad Idham kembali jadi CEO Finas

Selain Ahmad Idham, penerbit dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof turut dilantik sebagai Perunding Kreatif.

"Pelantikan mereka selaras dengan objektif membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia.

Idham Eizlan

Saifuddin (tengah) serah surat lantikan kepada Ahmad Idham (kiri) dan Eizlan.

"Ia bagi tujuan mewujudkan kaedah baharu mempamerkan identiti dan nilai kebangsaan, di samping memaparkan nilai kepelbagaian budaya serta menggalakkan promosi dan pertukaran budaya.

"Bagi mempromosikan Diplomasi Budaya Malaysia, Jawatankuasa Seni dan Budaya (ARCA) akan ditubuh di bawah Pejabat Menteri untuk mengukuhkan usaha dalam meletakkan seni Malaysia sebagai saluran berkesan dalam mempromosikan warisan sejarah dan budaya negara.

Alhamdulillah, Terima kasih YB Datuk Saifuddin di atas pelantikan saya!

AHMAD IDHAM

PENGARAH/ PELAKON

"Saya yakin bahawa Ahmad Idham dan Eizlan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi dan jayanya," katanya.

Pada 9 September lalu, Ahmad Idham melepaskan jawatan sebagai CEO Finas selepas 15 bulan menggalas tanggungjawab berkenaan.

Idham 2

Ahmad Idham layak memegang jawatan itu kerana pengalaman 25 tahun dalam industri seni.

Sementara itu, pengarah dan pelakon filem Impak Maksima ini mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan diberi dan berjanji menjalankan tugas dengan amanah.

"Alhamdulillah, Terima kasih Datuk Saifuddin di atas pelantikan saya sebagai Setiausaha Kebudayaan kepada Menteri Luar Malaysia," tulisnya di Instagram.

Nama Ahmad Idham tidak asing dalam industri seni tanah air apabila sering menerima pengiktirafan termasuk memenangi anugerah antarabangsa di Pesta Filem Chunsa Korea pada 2018.

Manakala, Eizlan pula pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti serta memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain