suria

Yusuf Bahrin doa Zizi Kirana istiqamah tutup aurat, kagum isteri kuat hadapi ujian - “Dia tetap pendirian berkenaan isu agama”

Yusuf Bahrin bersyukur Zizi Kirana seorang yang tetap pendirian soal agama.

MINGGU lalu isu penyanyi Zizi Kirana didakwa melanggar kontrak dengan sebuah syarikat produksi drama menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen dan penggiat seni.

Kes berkenaan mengundang pelbagai reaksi lebih-lebih lagi apabila perubahan imej Zizi dengan memakai tudung ketika penggambaran drama lakonannya masih berbaki sekitar 30 peratus.

Bagi suami kepada penyanyi kelahiran Sabah ini iaitu pelakon Yusuf Bahrin, dia kagum dengan kecekalan isterinya ketika berdepan ujian dalam melaksanakan perintah Allah untuk menutup aurat.

ARTIKEL BERKAITAN: Zizi Kirana jawab dakwaan langgar kontrak, tanya pendapat ahli agama hukum pakai rambut palsu -“Mufti kata haram walaupun atas urusan kerja”

ARTIKEL BERKAITAN: Zizi Kirana didakwa langgar kontrak, banyak kerenah... Rafiena hormat imej bertudung cari pengganti habiskan baki drama

Enggan mencampuri urusan kerja Zizi khususnya membabitkan isu dakwaan melanggar kontrak, Yusuf berkata dia sentiasa menyokong apa jua tindakan isterinya ke arah kebaikan.

ZIZI 2

Yusuf dan Zizi melangsungkan pernikahan pada pada 19 September lalu.

"Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah kerana bagi kemanisan dalam rumah tangga kami. Sebagai suami kepada Zizi saya reda dengan ujian yang Allah bagi dekat isteri saya.

"Saya sangat-sangat bersyukur sebab Zizi sangat kuat menghadapi segala ujian Allah ini.

"Saya akan support dia 100 peratus untuk terus istiqamah di jalan Allah. Saya akan sentiasa ada di sisi dia walau apa pun ujian yang dihadapinya," katanya ketika dihubungi mStar.

Allah tu sebaik-baik perancang dan Maha mengetahui kerana jodohkan saya dengan Zizi yang penyabar dan positif.

YUSUF BAHRIN

PELAKON

Pada 28 Oktober lalu mStar menyiarkan kenyataan penerbit dan pengarah drama Jamu Nesan, Datuk Rafiena yang mendakwa Zizi gagal melangsaikan baki penggambaran gara-gara berubah dengan imej bertudung.

Zizi juga menerusi penjelasan kepada mStar mengakui mereka gagal mencapai kata sepakat berhubung tarikh baharu yang dicadangkan pihaknya walaupun produksi bersetuju agar dia tampil bertudung.

Mengulas lanjut tentang situasi yang dihadapi Zizi, Yusuf berkata dia bersyukur kerana isterinya tetap dengan pendirian untuk menjadi seorang muslimah yang baik.

"Saya nampak dia seorang yang tabah dan cekal menghadapi ujian. Sentiasa bersangka baik dan senang menolak perkara-perkara negatif ni ke tepi

"Senyum je dia... MasyaAllah. Saya pun tak sekuat dia dalam menghadapi ujian. Allah tu sebaik-baik perancang dan Maha mengetahui kerana jodohkan saya dengan Zizi yang penyabar dan positif.

"Dia seorang yang tetap pendiriannya tambahan pula apabila berkenaan dengan isu agama," katanya.

Untuk rekod Yusuf dan Zizi sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 19 September lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain