suria

Air ketuban kurang, doktor ‘ready’ nak bedah Yatt Hamzah tapi tak jadi - “Kuasa doa, Allah makbulkan hasrat lahirkan anak secara normal”

Yatt Hamzah kongsi pengalaman sembilan jam bertarung nyawa dalam bilik bersalin.

PELAKON Yatt Hamzah meluahkan rasa syukur apabila doanya untuk melahirkan anak kelima secara normal dimakbulkan Allah SWT.

Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah berkata, pada mulanya dia dijangka terpaksa dibedah kerana mengalami masalah kurang air ketuban yang menyukarkanya untuk bersalin normal.

ARTIKEL BERKAITAN: Yatt Hamzah mengandung lagi, bakal timang anak kelima Julai depan - “Alhamdulillah... kehamilan ke-6 pada usia 40 tahun”

"Saya bertarung dalam labour room selama sembilan jam dari pukul 2.30 petang sebelum selamat bersalin pukul 11.16 malam Sabtu lalu. Mula-mula doktor cakap saya mungkin terpaksa bersalin caesar namun berkat kuasa doa, akhirnya Allah makbulkan hasrat untuk lahirkan anak secara normal.

"Doktor cakap air ketuban saya kurang itu yang menyebabkan agak sukar untuk meneran namun saya gagahkan juga sehingga pukul 11 malam... memang lepas dari jam tu doktor dah ready nak masukkan saya ke bilik pembedahan.

"Namun siapa sangka akhirnya saya dapat lahirkan anak secara normal... sebab kita tahu kalau lahir normal senang sikit nak jaga pantang lepas bersalin tu," katanya ketika dihubungi mStar.

Keluarga bahagia Yatt.

Yatt, 41, selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 11.16 malam Sabtu lalu di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, Negeri Sembilan.

Menceritakan pengalaman kali pertama bersalin di hospital kerajaan, Yatt berkata, dia menerima layanan yang baik sama seperti di hospital swasta.

"Saya bersalin di hospital kerajaan kerana tak nak susahkan suami. Saya takut kemungkinan perlu dibedah dan lebih-lebih lagi kita dalam keadaan pandemik.

Doktor cakap air ketuban saya kurang itu yang menyebabkan agak sukar untuk meneran namun saya gagahkan juga sehingga pukul 11 malam.

YATT HAMZAH

PELAKON

"Walaupun bersalin di hospital kerajaan tidak boleh tentukan doktor wanita atau lelaki, tapi saya bersyukur yang sambut anak saya doktor wanita.

"Cuma suami tidak dapat teman saya sambut anak sebab prosedur hospital kerajaan memang tidak benarkan... tapi tak mengapa yang penting anak saya dilahirkan dalam keadaan sihat," katanya.

Sementara itu, Yatt berkata dia akan berkongsi nama anak kelimanya itu selepas berusia tujuh hari.

Yatt teruja timang anak lelaki pertama.

"Saya akan kongsikan nama anak lepas tujuh hari kelahirannya, ikut sunnah itu yang dituntut.

"Di usia saya yang dah cecah 41 tahun, saya rasa cukuplah dengan lima anak sahaja. Sekarang saya nak fokus pada kualiti... bukan lagi kuantiti.

"Saya nak fokus besarkan anak-anak dan beri penjagaan serta pembelajaran terbaik untuk mereka," ujarnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Yatt mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 31, pada 27 Februari 2016 dan hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata perempuan, Suci Humaira Iqima, 5, Suci Hayfa Medina, 3, dan Suci Hawa Zulaikha, 1 tahun.

Yatt turut mempunyai seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika, 11, hasil perkahwinan terdahulu dengan bekas suami, Abdul Mutalib Shukor.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wajah bayi berkedut seperti berusia 80 tahun