suria

Banyak akaun palsu guna nama Siti Nurhaliza nak kongsi topup! Mohon peminat tak mudah percaya - “Ini semua scammer! Kita semua kena ada kesedaran IT”

Siti kongsi paparan skrin akaun palsu yang menyunting video live dan berkongsi di laman sosial.

BUKAN pertama kali tapi sudah beberapa kali pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan gambar penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk memperdayakan orang.

Enggan berdiam diri, Siti, tampil memberi amaran kepada pihak atau individu yang mencipta akaun laman sosial palsu dengan menggunakan gambarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf dik ini bukan majlis... hanya set up untuk saya ambil gambar!” - Siti Nurhaliza jelaskan foto ‘surprise’ sempena ulang tahun kelahiran

Penyanyi berusia 42 tahun ini turut berharap semua peminat terutama warga Indonesia tidak terpedaya dengan suntingan yang dibuat oleh pihak tersebut menerusi akaun palsu itu.



Siti berkongsi perkara itu di laman Instagram miliknya.

"Saya muat naik fasal akaun palsu dan cara mereka memperdaya orang, mereka padam akaun dan buka akaun lain, guna gambar saya dan video live saya. Ramai yang komen dan terpedaya.

"Tolong, tolong, tolong, baik peminat saya atau orang ramai dan ramai warga Indonesia juga komen (kerana menyangkakan saya membuat live dan akaun milik saya).

"Tak habis di situ mereka edit pula, letak akaun rasmi saya dan masukkan live tersebut secara share supaya orang yakin itu saya," tulis Siti di laman Instagram miliknya.

Penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu ini juga memuat naik paparan skrin beberapa akaun palsu yang menggunakan wajahnya untuk menarik perhatian orang ramai di Instagram pada Selasa.

Janganlah berniaga dengan memperdaya orang, carilah keberkatan di dalam apa jua yang kita buat.

SITI NURHALIZA

PENYANYI

Sebelum ini, Siti pernah memuat naik status memberi amaran dan teguran kepada pihak yang menyalahgunakan gambarnya dengan menipu orang lain.

Dalam pada itu, Siti juga menasihati orang ramai mengenai kesedaran teknologi maklumat yang melibatkan sindiket penipuan atau scammer di semua platform laman sosial.

Menurut Siti, dia sentiasa menyokong perniagaan sesiapa sahaja tambahan pula dalam keadaan pandemik Covid-19 dan berharap semua pihak tidak melakukan perbuatan yang dilarang hanya untuk mencari kesenangan dengan mudah.



Siti berharap semua orang menggunakan cara yang betul untuk berniaga.

"Kita semua kena ada kesedaran IT, ini penipuan, ini scammer, jangan perdaya, jangan kongsi maklumat anda, jangan layan kalau benda-benda macam ni keluar di Facebook atau media sosial anda.

"Bila saya muat naik tentang akaun scammer tadi, rupa-rupanya banyak lagi yang gunakan gambar saya dan jadikan akaun untuk bisnes lain pula. Topup pun ada juga.

"Saya memang tak ada masalah nak sokong perniagaan sesiapa saja dan saya tahu dalam keadaan sekarang semua orang terjejas tetapi jika salahguna, menipu dan juga gunakan pula gambar saya, ini perbuatan yang tidak betul.

"Janganlah berniaga dengan memperdaya orang, carilah keberkatan di dalam apa jua yang kita buat. Tolong jangan terpedaya dan sila report akaun-akaun yang guna nama saya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain