suria

Noraniza Idris ‘copy’ topi Siti Nurhaliza? Pereka aksesori ada jawapan - “Tak ada istilah siapa tiru siapa... fesyen begini dah ramai orang pakai”

Topi dipakai Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris merupakan hasil ciptaan pereka yang sama.

PENAMPILAN peserta program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Noraniza Idris yang menggayakan topi menggunakan material akrilik semasa konsert minggu ketujuh mengundang pelbagai komen dan usikan nakal daripada netizen.

Ini kerana rekaan pada topi merah itu dilihat sama seperti fesyen yang pernah digayakan oleh penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam video muzik (MV) lagu Siapa Tak Mahu.

Pereka fesyen Noraniza Idris yang dikenali sebagai Nik Amri berkata, penampilan Noraniza pada malam tersebut mengambil inspirasi daripada Latin dan topi yang dipakai merupakan rekaan Afiq K iaitu pereka aksesori daripada Arte de Narmi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tirai GV7 dibuka, persembahan Noraniza Idris dan Mus May curi perhatian - “35 tahun menyanyi... masih bertenaga!”

"Idea konsep persembahan Noraniza Idris adalah hasil perbincangan dengan syarikat pengurusan Mind Order dan stylist Amy Miyake. Konsep persembahan ada sedikit inspirasi unsur-unsur Latin dan gaun merah itu kita inspirasikan daripada gaya penari Flamenco serta sedikit suntikan Frida Kahlo.

"Nak tambahkan lagi mood moden dalam fesyen, pertama kalinya kita berkolaborasi dengan Afiq K iaitu pemilik Arte de Narmi. Sebelum itu, kita beri rujukan fesyen dan lagu yang akan dinyanyikan... kemudian mereka hadir dengan idea topi akrilik merah itu.

Netizen kata topi Noraniza Idris sama seperti yang dipakai oleh Siti Nurhaliza.

"Semasa awal-awal kita rancang nak tambah aksesori untuk menyerlahkan lagi mood Latin, tapi ada masalah untuk mendapatkan bahan sesuai jadi kita cuba juga alternatif lain. Tapi aksesori yang ditambah itu nampak terlalu sarat dan tak sesuai kerana Kak Ani perlu menari, jadi kami putuskan untuk kekalkan rupa bentuk asal topi tersebut," katanya kepada mStar.

Dalam konsert minggu ketujuh, Noraniza Idris menyampaikan lagu Canggung nyanyian asal Wany Hasrita dan menjadi peserta ketiga menerima markah tertinggi.

Menerusi Twitter, netizen membuat perbandingan dua foto memperlihatkan Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris mengenakan topi daripada material serta rekaan hampir sama, namun yang membezakan hanyalah warna.

Pereka fesyen Noraniza Idris, Nik Amri.

Dalam pada itu, pemilik butik Dokoh ini memberitahu pereka topi iaitu Afiq K merupakan individu yang sama menghasilkan topi untuk Siti Nurhaliza dalam MV Siapa Tak Mahu.

"Sebenarnya Afiq K adalah individu yang sama reka topi untuk Tokti (Datuk Seri Siti Nurhaliza), jadi tak ada istilah siapa tiru siapa... fesyen topi begini dah ramai orang pakai sejak tahun 2018 lagi.

"Mungkin kerana jarang ditampilkan di pentas komersial, maka orang lebih senang merujuk kepada mana-mana individu popular yang pernah menggayakan topi sama.

"Sebut tentang fesyen, ia bersifat universal... ada orang suka dan begitu juga sebaliknya. Saya okay sahaja kalau kena kritik sebab tak semua pendapat manusia itu sama, apa yang penting ikut keselesaan pemakai," ujarnya.

Neelofa pernah memakai topi yang sama semasa pertunjukan fesyen di Milan, Itali.

Dalam pada itu, Afiq yang diberi tanggungjawab membuat rekaan tersebut berkata topi itu telah dihasilkan sebelum Siti Nurhaliza memakainya dalam MV lagu berkenaan.

"Rekaan topi itu telah lama dihasilkan tapi untuk topi MV lagu Siapa Tak Mahu itu kita reka khas. Sebenarnya kita pun tak jangka orang nak samakan fesyen topi antara dua penyanyi ini.

"Sebenarnya, sebelum Tokti pakai ramai dah artis lain pakai dengan rekaan dan material yang lebih kurang sama. Antara selebriti yang pernah menggayakan topi ini ialah Neelofa, Aina Abdul, Elly Mazlein, Mimi Fly dan ramai lagi," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain