Komposer A Ali meninggal dunia

Allahyarham A Ali menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tidur.

SELEPAS sehari dunia hiburan diselubungi berita sedih dengan kematian komposer Ruslan Mamat, kisah duka bertandang lagi.

Kali ini komposer ternama A Ali pula menghembuskan nafas terakhir pada pagi, Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Komposer terkenal angkat irama dangdut, Ruslan Mamat meninggal dunia

Media dimaklumkan oleh ahli keluarga Allahyarham, komposer itu meninggal dunia ketika sedang tidur di kediamannya di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih.

"Assalamualaikum. Saya anak kepada Hamdan B Atan @ A.Ali, dengan ini memberitahu perkara mendukacitakan. Ayah saya telah kembali kerahmatullah pagi tadi dalam keadaan tidur.

"Jenazah sekarang berada di Hospital Kajang untuk urusan bawa balik ke rumah. Semoga roh arwah ayah saya dicucuri rahmat dan ditempatkan disisi orang yang beriman. Al-Fatihah," katanya.



A Ali merupakan bekas pemain gitar dan penyanyi kumpulan Kembara.

Menurut anak kepada A Ali iaitu Nur Huda, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan Kajang selepas solat Zohor.

Allahyarham yang berusia 71 tahun meninggal seorang isteri, sembilan orang anak dan 10 cucu.

A Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan merupakan bekas pemain gitar dan penyanyi kumpulan Kembara yang turut dianggotai oleh penyanyi terkenal Datuk M Nasir.

Allahyarham pernah bersama ahli kumpulannya membuat persembahan pada malam Gala Konsert Hati Emas Kembara di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada November 2014.

Lagu ciptaan Allahyarham iaitu Menaruh Harapan yang dinyanyikan oleh Zaiton Sameon memenangi Anugerah Juara Lagu 1987.

Allahyarham juga antara komposer yang menaikkan nama penyanyi terkenal seperti Rohana Jalil menerusi lagu ciptaannya Resahku dan Francissca Peter (Diri Ku Terbelenggu).

Beliau juga pernah bergandingan dengan John Goh menubuhkan kumpulan Pelangi yang popular menerusi lagu Biarku Menjadi Lilin (1985).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain