suria

Komposer terkenal angkat irama dangdut, Ruslan Mamat meninggal dunia

Foto terbaharu Ruslan Mamat (dua dari kiri) ketika menerima kunjungan kumpulan Eva. FOTO: Ihsan Mimi Eva.

KOMPOSER album dangdut yang terkenal pada era 1990-an, Ruslan Mamat meninggal dunia pada Khamis malam akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan jantung.

Isteri Allahyarham yang mahu dikenali sebagai Rahmah berkata, Ruslan yang berusia 59 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 malam di hospital Serdang selepas mendapatkan rawatan pada 5 November lalu.

Katanya sejak kebelakangan ini kesihatan Ruslan agak merosot akibat menghidap masalah paru-paru pada bulan Ramadan lepas.

“Sejak bulan puasa lepas lagi dia asyik keluar masuk hospital akibat masalah paru-paru. Keadaan dia bertambah merosot pada dua minggu lalu dan dirawat di sana sehinggalah menghembuskan nafas terakhir malam tadi, ” katanya kepada mStar.

Menurut Rahmah, pihak hospital menghubunginya kira-kira pukul 10 malam memaklumkan Allahyarham meninggal dunia dalam tidur ketika mendapatkan rawatan akibat penyakit berkenaan.

Gambar kenangan Ruslan Mamat (kiri) bersama rakan-rakan Warner Music pada majlis anugerah platinum atas kejayaan penjualan album Cinta Oh Cinta nyanyian Amelina (dua dari kanan) melebihi 50,000 unit pada 1997.

Katanya, doktor memaklumkan keadaan Allahyarham begitu lemah apabila dia tidak lagi boleh menerima makanan yang diberikan.

Disebabkan masalah pendemik Covid-19, tiada ahli keluarga yang dibenarkan menemani pesakit di hospital.

Dalam pada itu Rahmah berkata Allahyarham dijadual akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Cheras Perdana, Selangor sebelum solat Jumaat.

Allahyarham yang pernah bertugas sebagai wartawan di akhbar Watan, Media Hiburan, Fokus SPM dan Bacaria bergiat aktif dalam penulisan lirik dan penerbitan lagu pada era 1990-an.

Beliau menjadi komposer yang banyak menaikkan irama dangdut menggunakan nama pena Nabila.

Syarikat rakaman terakhir disertainya ialah Warner Music.

Antara artis yang diasuhnya ialah, Sheeda, Mas Idayu, Haiza, Amelina, Ifa Raziah, Ani Maiyuni dan kumpulan Eva.

Lagu-lagu popular ciptaan beliau antaranya ialah Bulan Cinta (Eva), Sambutlah Kekasih (Love Hunters), Dag Dig Dug (Haiza), Asyik (Amelina) dan Angkat Kaki (Sheeda).

Selain Rahmah, Allahyarham meninggalkan empat orang anak berusia 22 hingga 32 tahun dan 3 orang cucu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain