suria

Dituduh punca Ashraf Muslim dan Puteri Aishah positif Covid-19, pengarah Rahila Ali terima ribuan mesej kecaman

Pengarah dedah terima mesej kecaman selepas beberapa kru produksi drama dijangkiti Covid-19

DISAHKAN positif Covid-19 dan menerima rawatan di hospital pada awal April lalu, pengarah Rahila Ali mendedahkan dia menerima pelbagai mesej kecaman daripada netizen di laman sosial.

Menurut Rahila, ada yang menuduhnya sengaja mengabaikan soal keselamatan pelakon dan kru produksi kerana mengadakan penggambaran di luar negara ketika seluruh dunia sedang berdepan peningkatan kes wabak berkenaan.

"Selepas saya dan beberapa pelakon serta kru disahkan positif Covid-19, saya menerima ribuan mesej di media sosial... setiap hari orang mendoakan saya mati.

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Aishah positif Covid-19 selepas pulang dari Scotland 31 Mac lalu

"Saya terima pelbagai mesej kecaman, saya tunjuk mesej itu dekat pesakit sebelah... mereka hentam saya macam mereka malaikat, tak jaga hati orang lain. Saya hanya mampu istigfar sendiri dan senyum sajalah!

"Yang menyalahkan saya mungkin mereka ini tak faham situasi dalam sesebuah produksi. Sejujurnya saya tak sedih atau kecil hati pun! Kami semuanya positif sahaja dan anggap apa berlaku pasti ada hikmahnya," katanya kepada mStar.



Rahila merupakan pengarah filem Aku Bukan Gila yang dibintangi oleh Fasha Sandha, Beto Kusyairy dan Wanna Ali.

Rahila ditemui semasa pelancaran filem Aku Bukan Gila yang diadakan di Hotel Flamingo, Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa.

Filem terbitan Pencil Pictures and Records itu ditayangkan secara eksklusif menerusi platform penstriman WETV iflix.

Alhamdulillah sekarang dah sembuh sepenuhnya cuma saya dapat rasa tahap kecergasan saya sudah berubah, saya cepat rasa letih.

RAHILA ALI

PENGARAH / BEKAS PESAKIT COVID-19

Pada 7 April lalu, Rahila dan empat kru produksi drama Demi yang menjalani penggambaran di Inverness, Scotland disahkan positif Covid-19.

Turut positif penyakit itu ialah tiga pelakon drama tersebut iaitu Puteri Aishah, Ashraf Muslim dan pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa.



Rahila pastikan pelakon dan kru mengikuti prosedur operasi standard (SOP) di set penggambaran.

Sementara itu, Rahila mengakui kondisi tubuhnya berbeza selepas dijangkiti virus tersebut, dia mudah berasa letih dan masalah rabun yang semakin teruk.

"Alhamdulillah sekarang dah sembuh sepenuhnya cuma saya dapat rasa tahap kecergasan saya sudah berubah, saya cepat rasa letih dan tidak seaktif dulu.

"Masalah rabun pun semakin teruk, dulu pakai cermin kalau membaca sahaja tapi sekarang memang perlu pakai sentiasa.

"Saya akui trauma, nak keluar rumah pun takut! Malah, dekat set penggambaran pun saya paksa semua team produksi jaga jarak dan cuci tangan sentiasa!," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain