suria

PU Riz syukur bebas Covid-19, jalani kuarantin di rumah - “Saya akan ingat pesanan abang tabligh”

PU Riz bersyukur sembuh dan bebas dari jangkitan Covid-19.

SELEPAS 14 hari mendapatkan rawatan, Pencetus Ummah (PU) Riz, disahkan sembuh daripada jangkitan wabak Covid-19 dan dibenarkan pulang. 

PU Riz dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor sejak 6 April lalu telah disahkan sembuh daripada jangkitan virus bahaya itu pada Sabtu.

"Alhamdulillah syukur pada Allah apabila disahkan sembuh dan boleh pulang. Sekarang ni saya sudah berada di rumah," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: PU Riz positif Covid-19 - “Doakan saya sembuh”

Sebelum itu, pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan ini memuat naik video pendek di Instagram memaklumkan dia sudah sembuh daripada wabak tersebut.

Rata-rata pengikut turut mengucapkan syukur dengan perkhabaran tersebut dan meminta Riz terus berehat di rumah.

PU Riz berkongsi rakaman video penghargaan di laman Instagram.

Menerusi laporan sebuah portal berita, Riz berkata dia menangis apabila disahkan negatif selepas dimaklumkan keputusan ujian swab kedua.

"Syukur pada Allah apabila disahkan sembuh... saya menangis ketika dimaklumkan negatif. Bukan apa, wabak ini boleh membawa maut dan ibaratnya ini peluang kedua yang Allah berikan.

"Sepanjang dirawat, jururawat sentiasa memberikan kata-kata semangat dan minta supaya sentiasa berfikiran positif.

"Malah, ada jemaah tabligh pesan... yakin Allah ada dengan kita dan saya berdoa pada Allah semoga terus istiqomah sampai hujung nyawa! Saya akan ingat pesanan mereka!,” katanya.

PU Riz, Covid-19

Artikel Lain