suria

Sajat nafi ditangkap pihak berkuasa Arab Saudi - “Saya fokus buat ibadah, tiada masa tengok media sosial”

Sajat mengalirkan air mata dan memohon maaf kepada semua pihak.

SUSULAN kontroversi berpakaian wanita ketika menunaikan umrah, usahawan kosmetik, Nur Sajat menafikan dakwaan dirinya ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurut Sajat, 35, berita yang tersebar itu adalah tidak benar dan sepanjang berada di Kota Makkah dia menjalani ibadah tersebut dengan tenang tanpa gangguan mana-mana pihak.

"Sepanjang berada di kota suci itu, segala cerita tentang saya adalah tidak benar dan saya tenang sahaja di sana.

ARTIKEL BERKAITAN: Sajat kongsi video terkini, bertelekung hitam sambil bersedekah - “Saya tenang… kalau boleh nak sentiasa berada di sini!”

ARTIKEL BERKAITAN: Sajat kongsi video menangis, cium Kaabah... masih berpakaian wanita - “Aku seorang pendosa, Ya Allah... maafkan aku”

"Saya di sana tak main telefon kerana banyak fokus amal ibadat, memang tak nak tengok... kita di rumah Allah, jadi saya sangat teruja dan nampak berpuluh juta manusia berlari buat ibadah, tak ada masa nak tahu cerita di media sosial.

"Saya tak pandang kiri dan kanan, hanya nak luangkan masa dengan Allah... Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan, dari awal sampai akhir tak sangka dipermudahkan sebegitu," katanya.

Aliff Syukri menemubual Sajat mengenai isu tular semasa menunaikan inadah umrah baru-baru ini.

Sajat atau nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruzzaman berkongsi pengalamannya menunaikan ibadah umrah semasa ditemubual oleh jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri.

Rakaman temubual itu di muat naik di laman Youtube Aliff Syukri Terlajak Laris pada Sabtu.

Kami dekat sana keluarga semua tenang sahaja, emak saya tak rasa apa-apa. Syukur, mereka pun tak buka internet jadi tak ada rasa gelabah.

NUR SAJAT

USAHAWAN KOSMETIK

Ditanya perasaannya sebelum berangkat ke tanah suci itu, Sajat mengakui timbul rasa bimbang dan gementar.

Bagaimanapun, setelah menerima nasihat daripada mutawif yang dilantik agensi umrah Albayt Travel, dia berkeyakinan untuk meneruskan niatnya menunaikan ibadah tersebut.

Ibu dan bapa Sajat tenang berdepan kecaman netizen.

"Pada awalnya saya fikir pelbagai dugaan, saya tertanya betul ke aku nak pergi ni... macam-macam fikir tapi selepas dapat nasihat mutawif dia menenangkan hati saya.

"Mutawif kami Ustaz Zul saya kenal dari agensi itu dan dia tak pandang rendah pada saya dan banyak bagi nasihat.

"Alhamdulillah tak ada dugaan, bila sampai sana rasa bersyukur sampaikan saya menangis," ujarnya.

Dalam pada itu, Sajat berkata kedua ibu bapanya yang turut serta dalam rombongan tersebut bersikap tenang dan tidak ambil pusing dengan kecaman netizen.

"Kami dekat sana keluarga semua tenang sahaja, emak saya tak rasa apa-apa. Syukur, mereka pun tak buka internet jadi tak ada rasa gelabah.

Sajat menangis ketika mencium Kaabah.

"Dalam banyak-banyak travel, inilah yang memberikan 1001 kenangan untuk saya, sangat teruja dan apa yang tengok di sana semua cerita ada dalam Al-Quran.

"Saya tak lepas dari dosa dan salah, saya tahu walaupun ramai orang tak suka dan hina saya tapi dekat sana saya dapat keinsafan untuk dekatkan diri dengan Allah dan agama," katanya.

Sementara itu, menerusi Instagram Aliff Syukri, Sajat dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata dan memohon maaf kepada semua pihak.

Isu Sajat dilihat berpakaian seperti wanita ketika mengerjakan ibadah tersebut mengundang kecaman netizen sejak minggu lalu.

Tindakannya itu ternyata mengundang kemarahan netizen yang rata-ratanya menyifatkan ia sesuatu penghinaan yang dibuat terhadap umat Islam.

Sajat, Datuk Seri Aliff Syukri

Artikel Lain