suria

Sajat masih di Makkah, agensi umrah arah mutawif ‘slow talk’ - “Kami minta dia ubah penampilan, kembali kepada fitrah”

Sajat mendengar taklimat daripada pihak Albayt Travel sebelum berlepas ke Tanah Suci Makkah.

USAHAWAN kontroversi Nur Sajat masih berada di Kota Suci Makkah bagi meneruskan ibadah umrah, demikian menurut agensi pelancongan Albayt Travel Sdn Bhd yang menguruskan perjalanannya sekeluarga.

Menurut pemilik agensi itu, Sofwan Che Seman, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman bersama rombongannya akan pulang ke Malaysia pada Jumaat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki berpakaian wanita buat umrah dapat amaran polis Arab - “Jangan buat hal di sini”

ARTIKEL BERKAITAN: Sajat tak bertudung di KLIA, tapi bertelekung di Makkah - “Sepanjang pelepasan ikut garis panduan, cuma sebaliknya berlaku di sana”

"Dia masih berada di sana. Namun mutawif kita yang mengikuti rombongan itu sudah pesan kepada Sajat supaya mengubah penampilannya dan kembali kepada fitrah yang asal.

"Bagaimanapun sehingga kini saya masih belum menerima maklum balas perkembangan terkini berhubung isu berkenaan," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.

Sajat mengenakan pakaian wanita sewaktu menunaikan ibadah umrah.

Sementara itu Sofwan berkata pihaknya juga sudah merujuk konsulat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi untuk tindakan selanjutnya.

Susulan itu Sofwan turut membuat laporan polis di Kota Bahru, Kelantan bagi menjelaskan mengenai kontroversi Sajat memakai pakaian wanita dan bertelekung di Makkah.

"Pada mulanya Sajat dah ahli kumpulannya telah dimaklumkan lebih awal berkenaan perbezaan pengurusan dan tatacara hukum hakam ibadah umrah serta ziarah mengikut jantina berbeza yang perlu dipatuhi.

"Mereka juga telah bersetuju serta akur dengan arahan pihak syarikat kami. Bagaimanapun setibanya di Madinah, Sajat dan dua orang lagi rakannya didapati melanggar garis panduan yang telah ditetapkan dengan memakai busana wanita di tempat awam dan Masjid Nabawi.

Laporan polis dibuat susulan isu lelaki berpakaian wanita yang kecoh di media sosial.

"Ini menimbulkan reaksi negatif daripada masyarakat terhadap syarikat kami," katanya menerusi laporan polis berkenaan.

Hasil semakan, laman Facebook agensi itu juga sudah dinyahaktifkan kerana dipercayai menjadi mangsa kecaman netizen yang mahu menyatakan rasa marah.

Sementara itu menerusi laporan polis yang sama, Sofwan turut memaklumkan bahawa Sajat mahu mendiamkan diri buat sementara waktu.

"Pihak Albayt Travel mengarahkan pihak Sajat dan ahli kumpulannya membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku tetapi mutawif beritahu saya bahawa Sajat ingin mendiamkan diri kerana tidak ingin mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila Sajat dilihat mengenakan pakaian seperti wanita ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah.

Perkara itu ternyata mengundang kemarahan netizen yang rata-rata menyifatkan ia suatu penghinaan yang dibuat terhadap agama Islam.

Sajat, umrah, Albayt Travel

Artikel Lain