suria

“Fara Hezel ada dalam istikharah saya” - Gurauan tunang mahu jadi abang ipar Aiman Tino hampir jadi kenyataan!

Tunang kepada Fara Hezel pernah bergurau dengan Aiman Tino untuk menjadi abang ipar, kira-kira tiga tahun lalu.

TUNANG kepada penyanyi Fara Hezel iaitu Tengku Kamal mendedahkan hatinya terbuka untuk menjadikan Fara sebagai isteri setelah mendapat petunjuk dalam solat istikharah.

Menurut Kamal atau nama sebenar Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin, 25, dia sudah mengenali keluarga penyanyi itu kira-kira tiga tahun lalu dan menganggap jodoh antara mereka sebagai takdir yang sudah tertulis.

"Sebenarnya saya dan Fara sudah kenal kira-kira tiga tahun lalu sehinggalah tujuh bulan lepas kita serius menjalinkan hubungan.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat bulan kunci mulut elak dugaan, Fara Hezel bertunang dengan ahli perniagaan dari Terengganu

"Saya memang dah kenal keluarga Fara dan saya yakin dia takdir dan jodoh saya apabila dia ada dalam (solat) istikharah," katanya kepada mStar.

Kamal dan Fara ditemui semasa majlis pelancaran lagu Benci dan album Anugerah Terbaik Aiman Tino yang diadakan di Magika Event Hall, Star Avenue Mall, Shah Alam, baru-baru ini.

Kamal dan Fara sudah bersedia melangkah ke alam perkahwinan.

Sementara itu, Fara pula berkata Kamal pernah meluahkan hasrat kepada Aiman Tino untuk menjadi abang ipar penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu.

Ternyata gurauan ahli perniagaan itu menjadi realiti dan mereka bakal disatukan sebagai suami isteri tidak lama lagi.

Alhamdulillah, persediaan majlis semua dah siap, tunggu hari berlangsung sahaja. 

FARA HEZEL

Penyanyi

"Sebenarnya Aiman kenal Kamal dulu... mereka berkawan baik, semasa konsert di Terengganu tiga tahun lalu, Kamal ada gurau kata nak jadi abang ipar Aiman, tak sangka rupanya gurauan itu bakal jadi kenyataan.

"Apabila Kamal tahu Fara masih solo, dia terus masuk meminang dan semuanya dipermudahkan. Selepas kami berkahwin nanti, dia tak halang untuk saya meneruskan karier nyanyian," ujarnya.

Ditanya mengenai persediaan menjelang hari pernikahannya yang bakal berlangsung pada 20 Disember depan, penyanyi lagu Setiaku Pasti ini berkata semuanya sudah siap sepenuhnya.

Kamal dan Fara mengikat tali pertunangan pada 6 Disember lalu.

"Alhamdulillah, persediaan majlis semua dah siap, tunggu hari berlangsung sahaja. Persediaan menjadi isteri dari segi mental dan fizikal juga dah ready!

"Saya banyak bertanya dengan emak, sejujurnya sedikit gementar tapi dalam masa sama okay sahaja sebab saya sudah biasa menguruskan rumah dan adik-beradik.

"Insya-Allah, majlis pernikahan dan resepsi pertama akan diadakan di kediaman saya di Kuala Kubu Bharu, seterusnya di kediaman pihak lelaki di Terengganu dan satu lagi majlis di ibu negara yang akan dimaklumkan kemudian," ujarnya.

Dalam majlis resepsi ketiga itu, Fara memberitahu dia akan membuat kejutan dengan menyanyikan lagu duet ciptaannya sendiri.

Lagu tersebut mengisahkan mengenai perjalanan cerita cinta mereka dan akan diperdengarkan kepada tetamu pada majlis tersebut.

Sebelum itu, Fara Hezel atau Nurfaraazira Yusri, 23, mengikat tali pertunangan dengan Kamal secara tertutup pada 6 Julai lalu.

Fara Hezel, Aiman Tino, Tengku Kamal

Artikel Lain