suria

Dayang Nurfaizah, Ara Johari, Sufian Suhaimi bakal gegarkan Karisma Jelajah Suria di Shah Alam

Ara Johari, Sufian Suhaimi dan Dayang merupakan antara selebriti yang akan membuat persembahan dalam Karisma Jelajah Suria di Shah Alam, Sabtu ini.

STESEN radio Suria FM kembali lagi dengan siri Karisma Jelajah Suria dan bakal memulakan jelajah di Central i-City, Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini.

Menurut Pengurus Kanan Suria, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin, program jelajah ini diteruskan setelah mendapat sambutan hebat pengunjung pada siri terdahulu.

"Jelajah Suria adalah sebuah acara yang paling dinantikan oleh peminat dan pendengar setia Suria FM dan ianya sudah sinonim sebagai satu acara tahunan stesen radio Suria. Cuma yang beza kali ini adalah dengan kehadiran Karisma Cosmetic sebagai penaja kami. Oleh itu, jelajah kali ini dinamakan Karisma Jelajah Suria.

"Sememangnya penganjuran acara sebegini adalah salah satu usaha kami dalam mempertingkatkan jumlah dan meluaskan lagi sasaran pendengar Suria FM.

"Berdasarkan hasil kajian yang lepas, pendengar Suria mencatatkan peningkatan dan inilah masanya kami membalas semula sokongan orang ramai terhadap Suria FM," katanya.

Pengunjung berpeluang mendekati penyanyi kesayangan mereka dan bawa pulang pelbagai hadiah.

Konsert Karisma Jelajah Suria di Central i-City akan bermula pukul 3 petang dan menampilkan penyanyi hebat antaranya Ruffedge, Syafiq Farhain, Dayang Nurfaizah, Ara Johari, Exists, Sufian Suhaimi, Shima, Tajul, Muna Shahira, Nominos Band, Zack Zakwan dan Tuah Azmi.

Selain daripada berhibur bersama persembahan artis, pengunjung juga boleh beramah mesra dengan barisan penyampai Suria iaitu Fizi Ali, Issey, Feeya Iskandar, Sharifah Shahira, Suraya, Tyzo dan DJ Lin.

Pengunjung turut berpeluang memenangi wang tunai dan hadiah eksklusif Suria menerusi pelbagai aktiviti pentas menarik bermula seawal pukul 11 pagi menerusi pertandingan mewarna KUNTUM dan pertandingan karaoke KiraOke Suria.

Untuk peminat dan pendengar yang tidak dapat hadirkan diri ke lokasi Karisma Jelajah Suria, Suria FM menawarkan siaran langsung acara tersebut di radio menerusi semua frekuensi Suria dan juga live update di media sosial Facebook dan Instagram Suria Malaysia.

Selepas ini Karisma Jelajah Suria akan menggegarkan Kuantan City Mall, Pahang pada 14 September, Angsana Mall, Johor Bahru, Johor (21 September) dan Aman Sentral, Alor Setar, Kedah (28 September).

Karisma Jelajah Suria, Suria FM

Artikel Lain