suria

Kawan perempuan penuh drama, Sissy Imann mahu 'bridesmaid' lelaki

Sissy mahu semua bridesmaid adalah lelaki di majlis perkahwinannya.

PENYANYI Sissy Imann mengakui lebih selesa menjalinkan persahabatan dengan lelaki berbanding perempuan yang dianggap penuh dengan 'drama'.

Malah Sissy, 24, juga pernah meluahkan hasrat kepada bapanya untuk mempunyai pengapit (bridesmaid) lelaki di majlis perkahwinannya nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini lawak atau prank? Saya tak suka gosip ini” - Faizal Tahir terkejut dakwaan bercinta dengan Sissy Imann

"Sebenarnya saya memang lebih selesa berkawan dengan lelaki sebabnya mereka ini 'less drama' berbanding kawan perempuan.

"Kalau berborak atau saya nak cakap terus-terang dengan kawan lelaki pun tak ada masalah tapi kalau dengan perempuan, takut mereka cepat kecil hati.

Sissy akui sukar mempunyai kekasih kerana ramai kawan lelaki.

"Kawan perempuan yang saya ada pun boleh kira guna jari. Saya juga pernah luah hasrat pada ayahanda, nak bridesmaid masa kahwin nanti semua lelaki," katanya kepada mStar.

Tambah penyanyi lagu Pesanan Ayahanda ini lagi, persahabatannya dengan lelaki juga menyebabkan dia sukar untuk mempunyai kekasih.

"Sebenarnya bila dah ramai kawan lelaki ini menyebabkan saya susah juga nak ada kekasih. Mungkin disebabkan saya dah selesa jadi kawan dengan mereka.

"Tapi tidaklah bermaksud saya tidak akan bercinta, cuma buat masa sekarang ini lebih selesa untuk berkawan sahaja dengan semua orang," ujarnya.

Sissy seronok jadi pengacara.

Dalam pada itu, selain berbakat dalam bidang nyanyian, pemilik nama Sissy Imann Mohammad Kamil ini juga kini mengembangkan bakatnya dalam pengacaraan.

Menurut Sissy, pada mulanya dia berasa bimbang untuk mengendali program lawak buat pertama kali namun menganggap ia satu pengalaman baharu untuknya.

"Sebelum ini saya pernah juga jadi pengacara untuk dua program muzik tapi untuk program lawak, ini adalah kali pertama.

"Mula-mula memang takut nak jadi pengacara program lawak sebab ada saja benda tidak dijangka akan terjadi tapi seronoknya saya dapat pengalaman baru.

"Sebab pelawak-pelawak ini selalunya akan buat sesuatu secara spontan, jadi saya kena sentiasa bersedia," katanya.

Sissy Imann

Artikel Lain