suria

“Jika sokong tunjukkan, bukan sekadar cakap” - Amylea terharu karya diterima masyarakat

Amylea meluahkan rasa gembira apabila kemunculan semulanya diterima peminat. Foto: @nazreen.amran @mhaakim_.

PENYANYI Amylea Azizan meluahkan perasaan teruja apabila kemunculan semulanya dalam industri kali ini diterima masyarakat.

Amylea, 33, berharap peminat tunjukkan sokongan dengan berkongsi dan meningkatkan tontonan lagunya supaya dia boleh terus bergerak aktif.

"Sejujurnya bila saya menerima peluang walaupun sedikit, saya rasa sangat bertuah. Semenjak tahun lalu saya dah rasa sangat bersyukur kerana comeback dalam industri mendapat perhatian.

"Saya tak mahu berhenti tapi saya selalu berpesan kepada mereka yang banyak mesej (DM) atau komen jika betul-betul sokong saya, mereka perlu tunjukkan. Bukan hanya sekadar cakap, saya akan berkubur semula.

Amylea mahu peminat menunjukkan sokongan terhadapnya.

"Mereka boleh sokong dengan terus berkongsi lagu saya di laman sosial, tingkatkan tontonan lagu itu, stesen radio boleh nampak lagu itu diterima," katanya kepada mStar.

Amylea mula membuat kemunculan menerusi lagu duetnya bersama Kaer berjudul Tak Pernah Hilang yang menjadi runut bunyi drama popular, Nur pada tahun lalu.

Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga ini mengakui sedikit tertekan untuk menghasilkan lagu baharu.

Amylea berasa tekanan untuk menghasilkan karya baharu.

Bagaimanapun, Amylea tetap mahu berusaha lebih gigih untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti demi peminatnya yang sentiasa menyokong.

"Selepas sebuah lagu yang dicipta berjaya mendapat perhatian peminat, saya tak nafikan datangnya tekanan untuk menghasilkan lagu yang seterusnya.

"Apa yang boleh saya lakukan ialah untuk berusaha dengan lebih gigih bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti demi peminat yang sentiasa menyokong," ujarnya.

Amylea

Artikel Lain