suria

“Saya masih isteri Aiman” - Hubungan Ayu Puteh dan suami dalam proses pemulihan

Ayu memberitahu suaminya sudah kembali kepadanya dan hubungan mereka dalam proses pemulihan.

PENERBIT Datuk Ayu Puteh menjelaskan hubungan antara dia dan suaminya yang juga penyanyi Aiman Ismail kini dalam proses pemulihan.

Ayu atau nama sebenarnya Normashayu Puteh, 43, berkata suaminya yang sebelum ini pernah keluar dari rumah kini sudah kembali dan bersetuju untuk memperbaiki hubungan yang dibina lebih dua tahun.

Menurut pemilik syarikat produksi Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, dia juga mengakui perkara itu bukan sesuatu yang mudah namun berharap proses pemulihan itu menuju ke arah kebaikan buat mereka berdua.

"Apa yang saya boleh katakan sekarang ni, saya masih isteri dia. Dia sudah kembali pada saya dan kami pun dah tinggal sebumbung untuk membetulkan keadaan.

"Memang saya mengakui ia bukannya sesuatu perkara yang mudah tetapi saya sendiri sudah pernah melalui pelbagai pengalaman hidup.

Ayu bersama suami dan anak-anaknya.

"Jika pemulihan perhubungan ini menuju ke arah kebaikan, Alhamdulillah. Jika ia menuju ke arah yang tidak baik, saya perlu fikir untuk ke arah yang baik," katanya kepada mStar.

Ayu ditemui ketika pada majlis pelancaran filem Ada Apa Dengan Dosa yang bakal ditayangkan Oktober depan di Halaman Shah Alam, Shah Alam pada Selasa.

Sebelum ini, rumahtangga Ayu Puteh dan Aiman, 30, yang dibina sejak Januari 2017 bergolak apabila suaminya memuat naik foto mendakwa wujud pihak ketiga dalam hubungan itu pada November tahun lalu.

Isu terbabit juga menjadi lebih panas apabila anak kepada Ayu Puteh iaitu pelakon dan penyanyi Wanna Ali, turut meninggalkan komen, namun ia dipadam tidak lama kemudian.

Dalam pada itu, Ayu Puteh menganggap masalah rumahtangga yang dihadapinya itu sebagai dugaan buat dirinya yang ketika itu sedang menyiapkan filem Ada Apa Dengan Dosa.

Ayu membawa masalahnya secara positif.

Kata Ayu, kemungkinan masalah yang terjadi antara mereka disebabkan suaminya yang masih muda dan belum matang dalam membuat sebarang keputusan.

"Disaat saya sedang berusaha menyelesaikan beberapa isu berkaitan untuk menyiapkan filem ini, rumahtangga saya pula dilanda badai.

"Allah tidak beri ujian kepada filem saya tapi pada rumahtangga kami. Mungkin suami masih muda dan tidak matang tapi saya pun malas nak fikir dan biarkan perkara itu berlalu.

"Saya bawa masalah yang timbul ke zon filem ini yang lebih positif sebab saya tidak boleh menonjolkan masalah itu atau terbawa-bawa dengan emosi kerana takut merosakkan kehidupan saya dan anak-anak," ujarnya.

Datuk Ayu Puteh, Aiman Ismail

Artikel Lain