suria

Menang besar FFM30, Nam Ron nak 'selak' cerita rasuah menteri pula

Nam Ron memenangi kategori Pengarah Terbaik di FFM30.

SELEPAS One Two Jaga diumum sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia 30 (FFM30) yang berlangsung pada Sabtu, pengarahnya Nam Ron berjanji untuk terus mengangkat isu-isu sosial yang dekat dengan masyarakat.

Nam Ron atau Shahili Abdan, 50, berkata, dia juga merancang untuk menghasilkan sebuah filem yang mengisahkan tentang rasuah dalam kalangan pemimpin kerajaan.

“Setiap karya mesti kena ada satu suara dan saya masih berpegang kepada prinsip itu. Bukan sekadar filem biasa tapi karya yang mengisahkan masyarakat dan realiti kehidupan kita.

“Sebab itu, saya akan terus hasilkan filem seperti itu. Mungkin juga selepas ini, saya boleh buat filem fasal amalan rasuah dalam kalangan menteri pula,” katanya kepada mStar Online.

Nam Ron ditemui ketika malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘One Two Jaga’ bolot 6 anugerah termasuk Filem Terbaik FFM30

One Two Jaga rangkul enam kategori di FFM30.

Filem arahannya itu berjaya merangkul lima trofi lain iaitu Pengarah Terbaik (Nam Ron), Cerita Asal Terbaik (Pitt Haniff, Muhammad Syafiq dan Nam Ron), Poster Terbaik (Jazz Pictures), Lakon Layar Terbaik (Amri Rohayat, Fared Ayam dan Nam Ron) serta Pelakon Lelaki Terbaik (Rosdeen Suboh).

FFM30 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyaksikan 42 filem dipertandingkan bagi merebut 27 kategori.

Dalam pada itu, bercerita tentang One Two Jaga, Nam Ron mengakui bukan mudah untuk filem terbitan Pixel Play Entertainment itu mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF).

Bagaimanapun menurut Nam Ron, pelakon Bront Palarae selaku penerbit tetap berusaha untuk menayangkan filem tersebut secepat mungkin.

“Kami mulakan One Two Jaga pada 2014 dan berjaya ditayangkan pada April 2018, iaitu sebelum pertukaran kerajaan.

“Bront berusaha untuk mengeluarkan filem ini walaupun ditolak ke sana sini untuk mendapatkan kelulusan LPF.

“Tapi Alhamdulillah kami berjaya juga mendapat kelulusan itu sebelum pertukaran kerajaan baharu lagi,” ujarnya.

Filem One Two Jaga dibintangi oleh Rosdeen Suboh, Zahiril Adzim, Sofia Jane, Zaidi Omar, Amerul Affendi, Ario Bayu, Asmara Abigail, Bront Palarae, dan Azman Hassan.

Nam Ron, One Two Jaga

Artikel Lain