Derita Rozana dipukul bekas suami terbalas! Awie diperintah bayar ganti rugi RM80,000 - Hiburan | mStar

Derita Rozana dipukul bekas suami terbalas! Awie diperintah bayar ganti rugi RM80,000

Rozana Misbun menerima ganti rugi berjumlah RM80,000 dalam saman sivil yang difailkan terhadap Awie. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Penderitaan yang ditanggung bekas isteri Datuk Awie iaitu Rozana Misbun akibat dipukul penyanyi rock itu empat tahun lalu terbalas apabila beliau menerima ganti rugi berjumlah RM80,000 dalam saman sivil terhadap artis itu.

Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada 28 September lalu telah menghakimkan ganti rugi am sebanyak RM30,000, ganti rugi teruk sebanyak RM50,000 dan kos sebanyak RM10,000 untuk dibayar oleh Awie kepada pihak Rozana.

Rozana diwakili oleh peguam Ahmad Fakhri Abu Samah sebagai peguam utama serta Azlan Abd Roni, Muhammad Azwar Ab Manab dan Nasyrah Ezzan Ali.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul Isteri, Awie Bayar Kompaun RM10 Ribu Mohon Maaf Pada Rozana

ARTIKEL BERKAITAN: Awie Mengaku Salah Cederakan Rozana, Denda RM2,000

Rozana membuat permohonan saman sivil terhadap Awie pada 4 Mei tahun lalu. (gambar fail)

Azlan Abd Roni menjelaskan bahawa saman sivil yang difailkan oleh Rozana adalah untuk perbuatan tort hentaman (battery) atau pukul yang telah dilakukan oleh Awie selaku defendan kes itu pada 2 Jun 2014 di beberapa kawasan termasuk di kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Saman sivil yang telah difailkan oleh Rozana bertujuan menuntut ganti rugi untuk kecederaan-kecederaan yang dialami oleh Rozana yang mana antaranya adalah keretakan pada bahagian tulang rusuk ke sembilan dan ke-sepuluh, lebam-lebam di bahagian muka, telinga kiri, leher bahagian kiri,lengan, ketiak, dada, bilateral periorbital dan hidung.

Ini termasuk penderitaan dialami Rozana antaranya luka, lebam, sakit, kesengsaraan dan kesukaran untuk bernafas termasuk kos rawatan di hospital dan juga malu yang terpaksa ditanggung oleh Rozana iaitu bekas isteri defendan berakibat daripada perbuatannya.

Rozana bersama dua anak bawah jagaannya iaitu Putra Ahmad Rezzki, 10, dan Puteri Qasseh Antasha, 8.

Pada 7 Mac 2016, vokalis kumpulan Wings itu dilepaskan daripada pertuduhan jenayah mencederakan Rozana, 40, oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan Awie memohon maaf.

Sebelum itu, pada 4 Julai 2014, Awie, 50, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Rozana yang ketika itu isterinya di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun 2014 di Mahkamah Majistret Ampang.

Penyanyi itu turut sekali lagi didakwa dan telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan Rozana di kaunter Permodalan Nasional Berhad Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.

Rozana Misbun , Awie

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

'Messi Jepun' sertai Real Madrid