suria

Wani Kayrie ‘terbang’ ke Indonesia... Ini doa Afieq Shazwan!

Afieq anggap Wani Kayrie seperti adiknya sendiri.

PENYANYI Afieq Shazwan mendoakan teman rapatnya iaitu Wani Kayrie berjaya mengejar cita-cita dan beroleh kemenangan dalam pertandingan Liga Dangdut di Indonesia bulan depan.

Afieq, 21, berkata sebagai sahabat dia sentiasa memberikan sokongan dan mengharapkan yang terbaik, malah menganggap wanita tersebut seperti adiknya sendiri.

"Saya sudah tahu dia akan menyertai program realiti itu sebelum kami berada di Big Stage lagi, dia memang banyak mengadu tentang hal peribadi dan kami sangat rapat.

"Memandangkan usia kami tak jauh beza, jadi kami memang selalu bertukar pandangan dan ambil berat antara satu sama lain, orang kata belajar sama-sama.

Wani dan Afieq sudah berkawan sejak tahun 2012 lagi.

"Semoga perjalanan dia dalam program tersebut dipermudahkan dan berjaya mengharumkan nama Malaysia. Saya yakin dia mampu beraksi cemerlang di pentas Liga Dangdut," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, timbul gosip kononnya kedua-dua peserta Big Stage ini menjalinkan hubungan cinta, namun mereka menafikan khabar angin tersebut.

Afieq memberitahu hubungannya dengan Wani hanyalah sekadar kawan dan sudah mengenali penyanyi lagu Aku Suka Kamu itu sejak tahun 2012 lagi.

"Saya kenal dia semasa saya berumur 14 tahun lagi, masa itu dia sertai sebuah pertandingan nyanyian kanak-kanak dan saya pula pengacara.

"Wani ni manja orangnya dan saya anggap dia macam adik sahaja, mungkin sebab rapat sangat orang ingat bercinta tapi hakikatnya sekadar kawan," ujarnya.

Ditanya sama ada dia akan terbang ke Indonesia bagi memberi sokongan kepada Wani, Afieq berkata ia bergantung kepada situasi.

"Insya-Allah, saya akan pergi sana... tapi kalau duit cukuplah," guraunya.

Pada pentas akhir Big Stage, Ahad lalu, Wani berkongsi persediaan untuk menyertai program Liga Dangdut Asia di Indonesia.

Wani memaklumkan dia akan berangkat ke negara tersebut pada 15 Oktober dan menetap di sana sepanjang program berlangsung.

Wani Kayrie, Afieq Shazwan

Artikel Lain