suria

Muncul bersama Shahir, ini kata Erra Fazira

Erra Fazira muncul bersama Shahir menghiburkan pesakit-pesakit di wad psikiatri, Hospital Selayang pada 27 Jun lalu. Foto YAP CHEE HONG

PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira memberitahu kehadiran penyanyi Shahir Zawawi bagi menghiburkan pesakit-pesakit di wad psikiatri dan Pusat Kesihatan Mental (Mentari) Hospital Selayang pada 27 Jun lalu adalah atas undangannya.

Erra berkata, dia berbangga dengan Shahir kerana sanggup mengenepikan semua masalah peribadinya demi bersama-sama menjayakan program itu selain membuat persembahan di hadapan pesakit mental.

"Program itu sebenarnya anjuran Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) dan saya turut ajak rakan-rakan selebriti termasuk Shahir sekiranya mereka lapang untuk menyertai acara itu.

Shahir dan Erra muncul dalam program anjuran Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) di Hospital Selayang baru-baru ini.

"Kebetulan dia pun kenal dengan presiden Miasa iaitu Anita Abu Bakar jadi dia pun bersetuju untuk hadir ke acara itu.

"Saya kagum kerana dia sanggup ketepikan apa juga masalah yang sedang dia hadapi dan meluangkan masa bersama-sama pesakit di wad berkenaan," katanya.

Erra ditemui pada majlis pelancaran program Solidariti Untuk Penyakit Mental anjuran Miasa yang diadakan pada Rabu.

Program itu diadakan bagi mewujudkan kesedaran masyarakat berhubung penyakit mental selain memberi sokongan kepada pesakit-pesakit yang menderita masalah tersebut.

Erra kini aktif dalam kempen dan program bersama Maisa bagi membantu mewujudkan kesedaran mengenai penyakit mental.

Rakaman video pada program itu tular ekoran Shahir yang sudah beberapa bulan menghilangkan diri dari radar industri hiburan selepas tamatnya pentas akhir AF Megastar pada Oktober lalu.

Menerusi satu video yang dimuat naik agensi Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu, kedua-dua selebriti berkenaan menghabiskan masa dengan beramah mesra dan menyampaikan beberapa buah lagu raya kepada pesakit-pesakit di wad berkenaan.

Erra tampil anggun dengan berbaju kurung berwarna hijau, manakala Shahir berjaket hitam.

Erra Fazira, Shahir Zawawi

Artikel Lain