suria

Sampai bila nak main sorok-sorok dengan Nam Ron?

Nam Ron menunggu pihak produksi itu untuk memberitahunya.

PETALING JAYA: Pelakon Nam Ron mendedahkan ada syarikat produksi filem menggunakan naskhahnya dan penulis Faisal Tehrani tanpa pengetahuan.

Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 49, berkata dia diberitahu oleh rakannya yang turut terlibat dalam pembikinan filem tersebut.

"Baru-baru ni saya lepak dengan rakan pelakon. Dia beritahu yang dia terlibat dengan sebuah produksi filem.

"Naskhah yang digunakan adalah naskhah teater yang dihasilkan oleh saya dan @drfaisaltehrani pada tahun 2000.

Nam Ron memuat naik pendedahan tersebut menerusi laman Twitternya.

"Dan, saya tak pernah dimaklumkan oleh produksi tentang hal ini," tulis Namron menerusi laman Twitternya.

Tambah Nam Ron, dia juga berasa sangat terkilan dengan pihak tersebut yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, pihak produser dan pengarah tersebut merupakan rakan dalam industri perfileman.

"Saya rasa sangat terkilan sikap tidak bertanggungjawab mereka. Baik produser mahupun pengarah yang merupakan kawan-kawan dalam arena perfileman bukan orang luar.

"Sekiranya ini benar, ia adalah berita yang menyedihkan," ujarnya.

Nam Ron terkilan dengan pihak produksi yang tidak bertanggungjawab.

Kata Nam Ron, lebih menyedihkan apabila naskhah yang digunakan itu kerap dipentaskan di Universiti dan festival teater serta pernah diterbitkan di majalah Dewan Sastera.

"Saya sendiri pernah pentaskan di KL dan ke beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Bukannya simpan bawah tilam," katanya.

Dalam pada itu, Nam Ron memberitahu penggambaran filem itu sudah 70 peratus siap namun terpaksa dihentikan kerana mengalami masalah kewangan.

"Dengar cerita lagi penggambaran sudah 70 peratus siap sebelum terhenti kerana masalah pembiayaan.

"Apa-apa pun saya nak tunggu sampai bila mereka nak main sorok-sorok dengan saya," katanya.

Nam Ron

Artikel Lain