suria

Selepas tarian gelek, kecoh pula foto cium! Kazar janji tegur anak

Kazar sentiasa menasihati anaknya Ira supaya menjaga tingkah laku. Foto Instagram: kazar35 / irakaza

PELAKON Kazar terkejut apabila mengetahui foto yang memperlihatkan anak perempuannya iaitu Ira sedang mencium pipi seorang lelaki yang dimuat naik di Instastory tersebar di laman sosial.

Menurut Kazar atau Kazaruddin Saisi, 59, dia baru mengetahui tentang perkara itu setelah dimaklumkan oleh media yang ingin mendapatkan komen berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun, Kazar menjelaskan dia mengenali lelaki dalam foto tersebut dan individu itu adalah anak saudaranya yang juga merupakan sepupu Ira.

ARTIKEL BERKAITAN: Video Gelek Jadi Hinaan, Kazar Sudah Puas Nasihat Anak

"Saya baru tahu tentang foto itu apabila media bertanya. Saya mengenali lelaki itu dan dia adalah sepupu Ira iaitu anak kepada Helmi Gimmick.

Ira hanya cium pipi sepupu.

"Sejak kecil mereka memang rapat dan sudah lama tidak berjumpa. Tak sangka pula foto atau video itu dimuat naik oleh Ira di Instagram sampai orang salah faham.

"Saya akui tindakannya itu salah dan tak sepatutnya dilakukan, walaupun sepupu tak boleh buat macam tu. Nanti saya tegur dia," katanya kepada mStar Online.

Kazar ditemui semasa sidang media pelancaran telefilem Budak Kripto yang diadakan di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kuala Lumpur pada Selasa.

Budak Kripto arahan Din CJ itu bakal memulakan penggambaran pada 25 April ini dan akan bersiaran di saluran Astro First.

Kazar tak kisah jika Ira mahu ceburi bidang seni.

Selain Kazar, telefilem itu turut dibintangi oleh Zam Azmi, Nurul Hida, Fahrin ahmad, Liza Abdullah, Afifah nasir dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Sementara itu, Kazar memberitahu dia lebih selesa menegur anak-anak dengan cara berhemah dan lemah-lembut.

Ujarnya, cara membesarkan anak pada zaman ini tidak sama seperti dahulu kerana mereka lebih mudah memberontak.

"Remaja zaman sekarang lain tak macam kita dulu, mereka ini kalau kita marah lagi memberontak. Saya pun dah nasihat dan tak nak marah banyak kali, nanti lama-lama dapat penyakit sakit jantung pula.

Kazar bersama keluarga. Ira (tiga dari kiri).

"Saya selalu pesan dan nasihat dia supaya jaga nama bapa kerana saya dikenali. Apabila kontroversi begini, nama saya akan terpalit juga.

"Kalau netizen nak mengecam kata saya tak reti jaga anak, boleh datang rumah dan tengok sendiri hubungan kami anak-beranak," katanya.

Sebelum ini, nama Ira Kazar menjadi sebutan netizen apabila dia memuat naik video menari dengan aksi yang menghairahkan.

Tindakan remaja berusia 23 tahun ini sedikit sebanyak membuatkan nama bapanya turut terpalit dengan isu tersebut.

Barisan pelakon dan kru telefilem Budak Kripto terbitan A&S Pictures Sdn Bhd dan Manja Citra Sdn Bhd.

Bercakap mengenai Budak Kripto, Kazar berkata karakter yang dilakonkan olehnya hanya sekadar watak kecil dalam karya tersebut.

Namun, dia tetap mengambil serius dengan amanah tersebut kerana baginya sebagai pelakon dia harus menjayakan watak sebaik mungkin.

"Saya ni tak memilih watak sangat, asalkan bayaran okay dan naskah itu bagus saya terima. Zaman sekarang ni tak boleh nak memilih sangat. Apa yang penting saya bawa watak itu sebaiknya," katanya.

Ira Kazar, Kazar

Artikel Lain